Memanah dan perahu layar isi program Sukan Untuk Semua bagi Mac 

Admin

GEORGE TOWN – Program Sukan Untuk Semua ataupun Sports For All bagi bulan Mac 2020 diteruskan lagi dengan klinik sukan memanah dan klinik sukan pelayaran (perahu layar).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dalam satu sidang media ringkas pagi tadi.

“Sukan memanah merupakan sukan yang membawa pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) bagi kontinjen Pulau Pinang.

“Pihak Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) berusaha untuk memastikan sukan memanah meneruskan kecemerlangan tersebut.

“Oleh itu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan, akan menganjurkan klinik memanah di bawah inisiatif Sukan Untuk Semua,” ujar Lip Chee kepada pemberita.

Dalam sidang media berkaitan, Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang diwakili oleh jurulatih pasukan, Salina Erierpius.

Klinik memanah dijangka berlangsung pada 21 hingga 22 Mac ini bertempat di padang Sekolah Kebangsaan Jalan Residensi dari jam 3 petang hingga 7 petang.

Dalam klinik tersebut peserta dapat belajar cara memegang bow, teknik sasaran dan langkah-langkah keselamatan diri.

Individu yang berminat, boleh menghubungi Sharifah Saadon di talian 012-6903544 bagi merebut 120 slot disediakan.

Untuk klinik pelayaran, ianya akan berlangsung  dari 17 hingga 18 Mac ini bertempat di Pantai Bersih, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Klinik tersebut mengadakan empat sesi, dua sesi pada hari pertama dan dua sesi pada hari kedua dan ianya cuma terbuka kepada kanak-kanak berumur lapan hingga 14 tahun sahaja.

“Klinik perahu layar ini diadakan bagi memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Pulau Pinang khususnya kanak-kanak dalam mencungkil bakat di masa hadapan.

“Sebagai makluman, sukan pelayaran atau perahu layar ini mempertandingkan sebanyak 14 pingat pada SUKMA Johor nanti,” jelas Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Dalam sidang media tersebut, Persatuan Perahu Layar Negeri Pulau Pinang diwakili oleh Pengerusinya, Malik Faisal Abdul Rahim; Mohd. Rozi Tajudin selaku Setiausaha dan Chin Guan Sen sebagai Pengurus Pasukan.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Noor Falissa Shabudin di talian 018-9449481.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS