8 usahawan terima sumbangan bantuan peralatan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Seramai lapan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima bantuan peralatan peningkatan ekonomi dalam bidang penghasilan makanan bersempena Karnival Santai Rakyat Usahawan dan Koperasi Peringkat Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, bantuan tersebut diharap dapat meningkatkan ekonomi para pengusaha di samping meringankan beban masing-masing dalam penghasilan produk.

“Sumbangan Kerajaan Negeri ini diharap akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengusaha untuk lebih gigih dan kuat berusaha dalam meningkatkan taraf ekonomi masing-masing,” ujarnya yang menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini baru-baru ini.

Karnival anjuran Pejabat Timbalan Ketua Menteri I bersama Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya serta syarikat pengurusan program, ZHB Entertainment yang berlangsung selama 10 hari dari 22 November itu adalah berkonsepkan pesta jualan, pameran, khidmat masyarakat, sukan serta hiburan.

Sebanyak 50 gerai jualan disediakan dengan penyertaan 90 usahawan tempatan termasuk dari bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang menjual produk seperti minyak kelapa dara, jeruk, teknologi hijau dan sebagainya.

Dalam pada itu, seorang peniaga dodol, Rahmah Lazim, 60, yang telah bergiat dalam bidang tersebut selama 10 tahun menyatakan bahawa sebelum ini beliau tidak pernah menerima bantuan sedemikian.

“Syukur kerana Kerajaan Negeri sudi memberikan sumbangan seperti ini.

“Saya mendapat mesin kacau dodol dan ini akan lebih memudah dan meringankan kerja saya sekaligus meningkatkan produktiviti sedia ada,’’ ujarnya ketika ditemui di sini.

Pengusaha laksa dan keropok, Robhinah Arshat, 53, menganggap sumbangan tersebut sebagai rezeki kepada perniagaannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu usahawan kecil macam kami.

“Ini (sumbangan) sedikit-sebanyak ‘menyeronokkan’ hati saya,” jelas Robhinah yang berniaga di Batu Maung di sini.