SEBERANG JAYA – Kira-kira 80 peratus premis yang mengisi ruang di sayap baru pusat membeli-belah Sunway Carnival Mall dekat Seberang Jaya mula beroperasi hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, HC Chan berkata, kadar kemasukan premis baharu dijangka terus meningkat bagi tempoh tiga bulan akan datang sebaik sahaja proses ubah suai siap sepenuhnya.
“Sejak projek pembaharuan dimulakan pada tahun 2018, pusat beli-belah ini telah diperbesarkan kepada 1 juta kaki persegi dan dijangka bakal menerima pengunjung mencecah 15 juta orang menjelang akhir tahun ini.
“Projek pembesaran yang menelan kos RM500 juta ini dapat memuatkan 350 buah kedai yang pastinya akan memberikan pengalaman membeli-belah lebih menyeronokkan kepada pengunjung.
“Kami berharap agar pengunjung dapat bersantai, berseronok dan mencipta kenangan manis sejurus mereka melangkah masuk ke pusat beli-belah kami,” katanya dalam kenyataan sempena pembukaan sayap baru pusat beli-belah itu pagi tadi.
Difahamkan, sayap baru Sunway Carnival Mall menempatkan jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan seperti Jaya Grocer, JD Sports, Uniqlo, Kaison, Bath & Body Works, Victoria’s Secret, Charles & Keith, Mr D.I.Y, Pandora, Swarovski dan banyak lagi.
Mengulas lanjut, Chan memberitahu bahawa pembesaran pusat beli-belah yang menelan belanja sebanyak RM500 juta itu menyaksikan pertambahan sebanyak 60 peratus premis perniagaan termasuk 3,200 tapak parkir kenderaan disediakan.
“Pulau Pinang mempunyai peningkatan potensi yang baik dengan kepadatan penduduk seramai 1,500 orang di setiap kawasan.
“Dengan keadaan yang mula untuk kembali normal dalam era peralihan endemik termasuk dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa maka usaha ini dianggap tepat dengan masanya,” katanya lagi.
Selain itu katanya, pembukaan pusat beli belah ini menawarkan banyak peluang pekerjaan baharu khsususnya bagi penduduk setempat.
“Usaha ini selaras dengan objektif kerajaan dalam memulihkan semula keadaan ekonomi negara,” katanya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS