845kg sampah sempena Program Pembersihan Pantai Kuala Sungai Muda

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) dan Koay Teng Hai (dua dari kiri)  berkerjasama mengeluarkan pukat nelayan yang rosak dari timbunan pasir pantai pada  Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda di sini baru-baru ini.
CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) dan Koay Teng Hai (dua dari kiri) berkerjasama mengeluarkan pukat nelayan yang rosak dari timbunan pasir pantai pada Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda di sini baru-baru ini.

PENAGA – Sejumlah 845 kilogram (kg) sampah sarap dan bahan-bahan buangan berjaya dipungut bersempena penganjuran Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda yang mendapat sambutan lebih daripada 650 penyertaan pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini baru-baru ini.

Antara bahan buangan yang berjaya dikutip dalam tempoh kira-kira dua jam penganjuran program berkenaan termasuk pukat rosak, topi keledar, botol-botol minuman dan pelbagai lagi sisa buangan bukan organik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan Pantai Sedunia, Koay Teng Hai berkata adalah penting bagi mempertingkatkan tahap kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat setempat. Ini kerana, komitmen individu akan menentukan kempen-kempen dan polisi Kerajaan Negeri berkaitan alam sekitar dan pemuliharaannya berjaya atau tidak.

Program Pembersihan Pantai telahpun memasuki tahun kedua dan saban tahun penyertaannya meningkat sejajar dengan meningkatnya tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan pantai kita.

Malah Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda merupakan salah satu inisiatif yang berbentuk ‘non-structural measures‘ yang tidak boleh dibina sebaliknya komitmen dari semua pihak yang hadir menjadi tunjang dalam menjayakan misi pembersihan pantai di Pulau Pinang,” katanya dalam ucapan perasmian di sini baru-baru ini.

Selain jabatan-jabatan kerajaan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), program tersebut turut mendapat pembabitan dari syarikat-syarikat korporat seperti Canon (M) Sdn. Bhd., AEON Cares, Sony (M) Sdn. Bhd., Universiti Sains Malaysia (USM), sekolah-sekolah dan orang perseorangan.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow menegaskan bahawa tahap kesedaran menjadi tunjang utama dalam memastikan pantai di Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan bersih dan indah.

Kerajaan Negeri sedar betapa perlunya pemuliharaan pantai dan persekitarannya bagi menjaga kelestarian (sustainability) kepelbagaian ekologi hutan serta menggalakkan sektor eko-pelancongan negeri”, ujar beliau.

SEBAHAGIAN daripada peserta yang hadir menjayakan Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda.
SEBAHAGIAN daripada peserta yang hadir menjayakan Program Pembersihan Pantai Zon Kuala Sungai Muda.