GEORGE TOWN – Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di Pulau Pinang memulakan operasinya hari ini di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.
UTC berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan dibuka kepada orang ramai mulai 8.00 pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata bahawa dari pengamatan beliau semuanya berada dalam keadaan baik, namun beberapa isu perlu ditambah baik hasil maklum balas yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan pagi tadi.
“Misalannya masalah penghawa dingin di kawasan dalam dan luar UTC yang dikatakan tidak begitu sejuk, kita (Kerajaan Negeri dan PDC Setia Urus) ambil maklum hal ini, dan pihak PDC Setia Urus akan mengaktifkan penghawa dingin lebih awal selepas ini.
“Dalam pada itu, diharap ada beberapa jabatan atau agensi yang belum beroperasi diharap boleh memulakannya secepat mungkin dalam tempoh terdekat memandangkan ia (UTC) adalah pusat sehenti yang telah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat Pulau Pinang.
“Diharap ia dapat beroperasi sepenuhnya secepat mungkin kerana kita tidak mahu mengecewakan orang ramai yang datang ke sini untuk mendapatkan perkhidmatan,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke UTC bersama-sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus, Sabarul Aswadi Abdul Jalil pagi tadi.
Turut serta Pengurus Kanan Pengurusan Harta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Roslan Hassan.
Sehingga kini, selain Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), jabatan dan agensi lain yang menempatkan cawangan mereka di UTC ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan operasinya hari ini.
Manakala, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), JOBS Malaysia dan Kementerian Usahawan dan Koperasi bakal menyusul tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berharap pembukaan UTC di Komtar akan membawa limpahan pengunjung ke kompleks berusia 46 tahun tersebut.
“Pembukaan UTC di sini menyebabkan beberapa perniagaan baharu telah muncul antaranya agen insurans, kiosk dan pesuruhjaya sumpah.
“Kita (PDC Setia Urus) ada menerima pertanyaan tentang penyewaan kiosk-kiosk berhampiran UTC kepada peniaga-peniaga kecil, buat masa ini PDC Setia Urus berpandangan bahawa lebih baik kita sewakan lot-lot kedai yang kosong terlebih dahulu, macam yang semua ketahui lot-lot kedai ini telah lama kosong,” jelas beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING