90 petugas barisan hadapan terima tawaran rumah mampu milik

GEORGE TOWN – Seramai 90 orang petugas barisan harapan dari pelbagai agensi kerajaan di negeri ini menerima surat tawaran pemilikan rumah mampu milik daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa daripada jumlah itu, seramai 33 penerima adalah petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP (8) dan lain-lain agensi (49).

“Tawaran ini diberikan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada wira-wira barisan hadapan di negeri ini termasuk MBPP, MBSP, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta lain-lain.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan keutamaan pemilikan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kepada kakitangan awam serta pasukan barisan hadapan terutamanya pada musim pandemik COVID-19 ini,” katanya pada sidang media dekat Dewan Bandaraya dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Tambah Jagdeep, sebanyak 55,905 permohonan rumah mampu milik telah dipilih oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas Pemilihan sejak tahun 2013 dan daripada jumlah itu seramai 6,695 pemohon adalah kakitangan awam.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak November 2013 ini telah bersidang sebanyak 60 kali untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan dipilih kerana rumah mampu milik di Pulau Pinang adalah terhad,” ujarnya lagi.

Sobri Ahmad.

Difahamkan, sehingga kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan 106,742 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah mampu milik yang mana 34,388 unit telah siap dibina, sedang dibina (20,180) dan diluluskan untuk dibina (52,174).

Pembantu Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, SOBRI AHMAD, 58, ketika ditemui meluahkan rasa syukur dan gembira kerana dipilih sebagai salah seorang penerima tawaran bagi projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri.

“Saya tinggal di rumah sewa lebih 10 tahun dan sudah tentulah saya rasa sangat gembira apabila mendapat peluang untuk memiliki rumah sendiri,” katanya yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata.

Nazri Ismail.

‘Wira Oren’ MBSP, NAZRI ISMAIL, 42, pula berkata bahawa impian untuk memiliki rumah akhirnya tercapai selepas beberapa kali membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Sekarang saya bersama-sama isteri dan tiga orang anak tinggal bersama ibu bapa saya di Penanti dan saya amat bersyukur kerana dipilih menerima tawaran rumah mampu milik ini,” ujarnya ketika ditemui.

Muhammad Ridhwan Yahaya.

Nada sama turut disuarakan oleh MUHAMMAD RIDHWAN YAHAYA, 30, yang merupakan petugas MBPP.

“Saya memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik ini sebelum saya mendirikan rumah tangga lagi dan hari ini saya berasa amat gembira kerana diberi peluang ini,” ujarnya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI