92 peratus kadar penyelesaian permohonan dan pembangunan PBT diiktiraf

BUKIT MERTAJAM – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng hari ini merakamkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) atas kejayaan menyelesaikan 92 peratus urusan permohonan dan pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau menyuarakan pengiktirafan itu pada Majlis Pelancaran Sistem Online Unit Pusat Setempat (OSC) di Kompleks MPSP, Bandar Perda, di sini.

“Kadar penyelesaian dahulu 81 peratus. Tetapi, sehingga tahun ini, (kadar penyelesaian) 92 peratus bagi kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan), ia meningkat 11 peratus,” ujar beliau.

Pun begitu, beliau berkata kedua-dua PBT perlu terus meningkatkan kualiti perkhidmatan demi merealisasikan harapan Kerajaan Negeri sebagai “kerajaan berjiwa rakyat”.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow pula berkata, pihak berwajib seharusnya menekankan aspek kemanusiaan walaupun sistem OSC Online lebih berorientasikan internet.

“Internet bukanlah manusia, maka faktor manusia sangat penting untuk menjayakan OSC Online ini,” kata beliau.

OSC Online dilancarkan pada 21 Mac 2007 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dengan pelancaran OSC Online ini, semua proses permohonan dan pemprosesan di negeri ini akan dilaksanakan secara talian online.

Sistem ini meliputi 11 Jabatan, iaitu Indah Water Consortium (IWK), Tenaga National Berhad (TNB), Pihak Bekalan Air Negeri (PBAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pasukan Bomba dab Penyelamat, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBM).

Turut hadir, Yang DiPertua MPPP, Patahiyah Ismail, Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Saleh Man dan ahli majlis PBT lain.