97% maklum balas diterima sokong pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 97 peratus daripada 16,140 maklum balas yang mengambil bahagian dalam proses pemeriksaan awam menyokong cadangan pelaksanaan Projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sehingga 17 Oktober 2019, sebanyak 380 maklum balas atau 2.35 peratus membantah pelaksanaan tersebut.

“Berdasarkan keseluruhan 16,140 maklum balas yang diterima, sebanyak 15,760 responden menyokong manakala 380 atau 2.35 peratus maklum balas lagi tidak menyokong,” ujarnya dalam sidang media di Komtar tengah hari ini.

Menurut Kon Yeow, pada 10 Oktober lalu, suatu mesyuarat telah diadakan bersama-sama pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengemas kini maklumat proses pemeriksaan awam bagi bulan pertama.

“Dalam mesyuarat tersebut, APAD telah meminta supaya rakan pelaksana projek menyediakan senarai semak serta menjawab semua pertanyaan yang diterima melalui proses pemeriksaan awam ini,” katanya.

Difahamkan, proses pemeriksaan awam bagi Projek LRT Bayan Lepas itu mula dibuka kepada umum pada 19 Ogos 2019 di beberapa lokasi antara di Tingkat 3, Komtar dan di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai dekat Bandar Perda.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow turut menafikan dakwaan kumpulan aktivis Penang Forum kononnya soalan yang dikemukakan dalam proses pemeriksaan awam ‘direka’ bagi ‘menipu’ responden supaya menyokong projek tersebut.

“Sekiranya tidak menyokong (pelaksanaan projek) maka responden boleh membantah dan ia tidak perlu direka-reka.

“Saya juga tidak tahu siapa yang menyediakan soalan tersebut kerana Kerajaan Negeri tidak mengambil bahagian dalam penyediaan soalan,” ulasnya.

Cadangan pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas meliputi jarak sepanjang 29.5 kilometer dan bakal menjadi laluan utama transit rel di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING