MENCEMPUNGKAN diri dalam bidang perniagaan sejak 31 tahun yang lalu, SATHIVEL AYARO, 50, tidak berasa ragu-ragu untuk menyambung legasi perniagaan turun-temurun keluarganya berniaga makanan ringan India di stesen atas Bukit Bendera.
Premis ‘The Famous Penang Hill Kacang Putih’ yang kini sudah berusia hampir 63 tahun beroperasi, popular dan sering dibanjiri pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk Pulau Pinang, malahan juga pelancong dari negara luar.
Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan menemu bual beliau untuk melihat sendiri konsep menu kacang putih yang sering menjadi kegemaran pelanggan dan mengenali menu baharu yang diperkenalkan.
Warisi Perniagaan Keluarga
Perjalanan perniagaan kacang putih ini juga boleh diibaratkan seperti memelihara warisan yang juga bertepatan dengan negeri ini yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri serta bernilai tinggi.
“Pada awalnya, perniagaan ini dimulakan oleh datuk sekitar tahun 1960, sejurus itu bapa pula menunjukkan minat yang sama lalu menyambung perniagaan ini menjelang tahun1984.
“Seterusnya, giliran saya pula mengambil alih perniagaan ini (tahun 1992), ketika itu saya baru berusia 21 tahun dan saya berpendapat bahawa adalah bagus untuk menyambung usaha memelihara warisan (keluarga kami) ini kerana kacang putih masih lagi popular dan digemari ramai.
“Sebagai anak bongsu dalam 12 beradik, saya seorang sahaja yang berminat untuk meneruskan legasi datuk, dahulu tapak berniaga juga kecil tidak seperti sekarang lebih besar.
“Menariknya, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang pada ketika itu, Tun Dr. Lim Chong Eu juga tidak ketinggalan menyediakan kemudahan astaka di situ,” ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bendera.
Menu kacang putih popular
Menurut Sathivel, aspek yang menjadikan gerai kacang putih ini kegemaran ramai adalah disebabkan resipi asli yang diwarisi turun-temurun dan kini mempunyai pelbagai variasi perisa.
“Semasa datuk berniaga hanya kacang putih yang dijual, apabila saya pula menyambung perniagaan, saya memperkenalkan menu baharu seperti jagung masala, jagung keju, bhelpoori masala, pani puri, dodol, muruku dan banyak lagi.
“Waktu operasi bermula seawal 9 pagi dan selalunya akan habis sekitar jam 6 petang, jika bermulanya cuti sekolah yang panjang, saya akan membuka satu jam awal dek stesen atasBukit Bendera sudah mula dibanjiri pengunjung.
“Pada hujung minggu, isteri saya akan menyediakan pani puri, dan istimewanya bahan-bahan yang digunakan kami berdua sediakan sendiri.
“Makanan ringan ini boleh dikatakan kategori vegetarian dek semua kaum boleh menikmati semua menu yang ada, oleh itu apabila kualiti dijaga, kuantiti juga akan bergerak seiring,” jelasnya lanjut.
Perancangan dan harapan
Mengulas lanjut, Sathivel turut memuji tindakan Kerajaan Negeri untuk tidak melupuskan makanan jalanan yang menjadi salah satu tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri.
“Usaha ini bertepatan dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai salah satu ibu kota makanan jalanan terbaik yang penuh dengan keaslian, keunikan serta variasi makanan yang amat sinonim dengan ungkapan syurga makanan.
“Dengan adanya peluang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini, kami juga sebagai peniaga berupaya mencari rezeki serta meneruskan legasi warisan masing-masing,” katanya sambil menyifatkan Kerajaan Negeri tidak ketinggalan dalam mencantikkan serta membersihkan premis makanan jalanan yang sedia ada.
Ditanya pula mengenai cabaran berniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan di tempat yang tidak boleh diakses ramai pada ketika itu, Sathivel dengan tenang menjelaskan beberapa kesukaran yang dihadapinya untuk kembali stabil seperti hari ini.
“Bagi saya, rezeki yang diperoleh mengajar diriuntuk tidak henti berusaha dan memperbaiki apa yang terkurang, kerana tidak lengkap sesebuah perniagaan itu tanpa sebarang rintangan.
“Walaupun tidak berupaya berniaga semasa pandemik, pendaki yang sering mendaki di Bukit Bendera sangat baik hati dan menjadi‘penghantar makanan’ ke stesen bawah.
“Pihak Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) terutamanya tidak henti menyalurkan bantuan terhadap peniaga di sini, tidak lupa juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sejak dulu selalu ingat kami di sini,” luahnya.
Berbicara pula mengenai harapan, Sathivel tidak membuat perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih lagi.
“Kini, hanya saya dan isteri sahaja yang mengendalikan perniagaan ini, jadi untuk mengembangkan lagi perniagaan mungkin belum tiba masanya lagi.
“Jika ditanya ingin mewarisi kepada anak pula, saya memberi kebebasan sepenuhnya terhadap mereka untuk memilih kerana perlu timbang tara juga minat masing-masing dan tidak boleh memaksa, selagi masih ada kudrat maka saya hanya ada di sini dan berniaga,” ujarnya menutup sesi wawancara.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR