A. Rajendran Datuk Bandar MBPP baharu, tahniah!

Admin
(Dari kanan) KETUA Menteri, A. Rajendran dan Jagdeep Singh Deo selepas majlis istiadat mengangkat sumpah dan terimaan jawatan Datuk Bandar MBSP ke-4 di Dewan Bandaraya di sini pada 9 Mei 2023.

GEORGE TOWN – Dato’ Ir. A. Rajendran hari ini dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke-4 ekoran persaraan wajib Dato’ Ar. Yew Tung Seang pada 5 Mei lepas.

A. Rajendran

Mantan Setiausaha Bandaraya itu melafazkan ikrar terimaan jawatan Datuk Bandar MBPP di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Bandaraya dekat sini pada 9 Mei 2023.

Turut menyaksikan majlis penuh istiadat tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan Exco Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Pulau Pinang.

GAMBAR kenangan Datuk Bandar MBPP yang baharu bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri di depan bangunan Dewan Bandaraya di sini tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow berpendapat bahawa beliau yakin dengan pengalaman serta kebolehan Rajendran untuk menerajui MBPP sebagai sebuah organisasi mesra kepada semua pemegang taruh di kawasan pentadbiran bandar raya tersebut.

“Sebentar tadi, Dato’ Ir. Rajendran telah memaklumkan mengenai Transformasi Digital yang telah dirancang oleh MBPP dengan memberi impak besar kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan MBPP.

“Saya amat berharap dengan projek berimpak tinggi ini, ia mampu melonjakkan Pulau Pinang pada kedudukan terbaik dunia dalam senarai lokasi pelaburan kompetitif,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil merakamkan penghargaan atas perkhidmatan Tung Seang sebelum ini.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, beliau berharap pentadbiran Rajendran dapat terus membawa Pulau Pinang sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa berlandaskan Visi Penang2030 dengan tema Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara; sungguhpun corak pentadbiran Datuk Bandar MBSP ke-4 berkenaan mungkin berbeza dengan era sebelumnya.

Manakala, Jagdeep dalam ucapnya turut menyeru semua Ahli Majlis MBPP supaya terus memberi sokongan kepada pentadbiran Rajendran sebagaimana yang telah diberikan kepada pentadbiran Tung Seang sebelum ini.

“Kejayaan tidak boleh dicapai melainkan jika kerja berjaya dibuat secara berpasukan.

“Kalau beban begitu berat di atas bahu saya, saya percaya beban lebih berat lagi di atas bahu Datuk Bandar MBPP baharu ini.

“Justeru, saya berharap semua Ahli Majlis dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Dato’ Ir. Rajendran,” serunya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Berucap selepas itu, Rajendran berkata bahawa MBPP sehingga kini mengikuti perkembangan arus evolusi digital serta memberi impak yang positif kepada corak pengurusan dan pentadbiran bandar raya ini.

Menurut beliau, sebanyak 112 urusan pembayar cukai MBPP boleh dilaksanakan secara dalam talian, manakala pembayaran secara tanpa tunai telah digunakan untuk 86 peratus transaksi dengan MBPP pada tahun 2023.

“Projek Transformasi Digital melalui pembangunan SmiDat atau Smart Island Digital Twin akan diperkasakan sehingga sempurna pada tahun 2025.

“Dua komponen penting SmiDet adalah pembangunan model maya bandar sebagai klon digital pada realiti (Virtual City model) serta pemasangan rangkaian fiber eksklusif sekeliling pulau, Pulau Pinang.

“Sehubungan ini, MBPP memberi sokongan penuh kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dalam penyediaan rangkaian 5G yang dapat membantu (ke arah) merealisasikan potensi penuh Industri 4.0 yang sangat penting bagi Pulau Pinang,” jelasnya sambil memberitahu bahawa kemudahan 5G dijangka mencapai liputan 90 peratus penduduk di sekitar bahagian pulau pada akhir tahun 2023 ini.

Di samping itu, Rajendran turut menyatakan bahawa pentadbirannya juga akan memperbaiki pelan-pelan berkaitan bagi mendepani perubahan iklim serta isu-isu malar segar peringkat MBSP.

SIDANG media Datuk Bandar MBSP bersama-sama Ketua Menteri dan Jagdeep Singh Deo.

Dalam sidang media selepas itu, menurut Rajendran, pentadbirannya akan memberi tumpuan kepada tiga perkara penting berlandaskan Visi Penang2030.

“Saya berhasrat untuk menjadikan bandar raya ini progresif, berdaya tahan dan (badar raya) bahagia (kerana) ini selaras dengan ilham YAB Ketua Menteri (Kon Yeow) dalam Visi Penang2030,” ujarnya dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow dan Jagdeep.

Buletin Mutiara difahamkan Rajendran semasa berusia 23 tahun melaporkan diri untuk bertugas di Jabatan Kejuruteraan MBPP pada tahun 1986.

Selama 37 tahun berkhidmat dengan MBPP, Rajendran pernah menjadi Pengarah Kejuruteraan dan Setiausaha Bandaraya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SIEW CHIA EN