Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersetuju memberikan lesen penjaja khas untuk tahun 2015 sahaja atas nama Abdul Latif Thulkarunai sebagai pengendali Warung Nasi Kandar Line Clear, sehinggalah ada suatu deklarasi baru daripada mahkamah.
Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan mencampuri perbalahan keluarga berwajib dalam menuntut hak menguruskan warung nasi kandar Line Clear, yang kini dirujuk ke mahkamah.
Bagaimanapun, jelasnya, MPPP masih mengeluarkan Lesen Gerai Atas Tanah Persendirian 2015 atas nama Abdul Latif kerana gerai makan tersebut merupakan salah satu identiti pelancongan bagi negeri ini.
“Kerajaan Negeri tidak pernah berhasrat menutup terus Nasi Kandar Line Clear, tetapi, mahu ia diurus oleh pemegang lesen yang sah sahaja,” tegasnya pada sidang media khas di sini baru-baru ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) dan Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha MPPP) serta Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff turut menyertai sidang media tersebut.
Guan Eng mengulas sedemikian ekoran langkah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyerbu serta mengosongkan Line Clear sekitar jam 4 pagi baru-baru ini susulan mendapati pengendalinya berniaga tanpa lesen berwajib bagi tahun 2015.
“Tindakan penguatkuasaan MPPP itu adalah berdasarkan Undang- Undang Kecil Penjaja 1979 dan saya pun tidak faham mengapa perkara ini telah bertukar menjadi satu isu yang menghentam Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri tiada minat untuk mencampuri isu perbalahan keluarga ini dan biarlah ia diputuskan oleh mahkamah saja,” jelasnya.} else {