Abdul Malik kesal tindakan NGO boikot produk Cina

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

boikot

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim kesal dengan tindakan 83 badan bukan kerajaan (NGO) diterajui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dipercayai bertindak menyeru umat Islam memboikot produk keluaran syarikat milikan Cina berstatus halal baru-baru ini.

Jelas beliau, tindakan tersebut menunjukkan pihak terbabit bersikap separuh matang dan kebudak-budakan.

“Saya amat kecewa dengan keangkuhan dan kebodohan NGO terbabit kerana menyeru masyarakat Islam untuk memboikot produk keluaran syarikat Cina yang berstatus halal.

“Tindakan kebudak-budakan hanya sebagai membalas tindakan majoriti masyarakat Cina menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya yang lalu,” katanya pada sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sokongan ditunjukkan masyarakat kepada mana-mana pihak dalam pilihanraya bukanlah menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang, malah, juga bukan suatu jenayah sehingga pihak terbabit
bertindak sedemikian.

“PPIM adalah sebuah NGO kepenggunaan dan bukannya sebuah parti politik.

“Sepatutnya mereka (PPIM) menasihati pengguna dalam hal kepenggunaan dan bukannya bersikap rasis serta menyalahguna istilah Islam,” tegasnya yang turut mencabar pihak terbabit untuk bubar dan menubuhkan sebuah parti politik kerana tingkah laku serta pemikiran sempit.

Dalam pada itu, Abdul Malik turut merujuk kenyataan PPIM yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar arus perdana bertarikh 18 Mei lalu yang merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Rakyat Malaysia (MUAFAKAT), Abdul Karim Omar, sebagai dipetik, “Kami hendak bagi kesedaran kepada masyarakat Cina mengenai agenda jahat DAP yang memperalatkan mereka hingga menyebabkan mereka percaya DAP boleh memerintah negara selepas PRU-13 yang lalu.”

Tegas Abdul Malik, kenyataan yang kononnya bagi mendidik peniaga dan masyarakat Cina konsep toleransi sesama rakyat Malaysia hakikatnya berbaur rasis.

“Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri dari DAP tidak mempunyai sebarang masalah, malah, berjaya meletakkan negeri ini ke tahap yang optimum dan terbaik,” ujar beliau.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut menegaskan bahawa beliau akan menghantar surat bantahan ke Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berhubung tujuan organisasi terbabit ditubuhkan ekoran pendirian pihak terbabit melancarkan kempen memboikot barangan milik syarikat Cina yang berstatus halal.

“Sepatutnya PPIM memfokuskan isu halal haram dan status barangan pengguna diragui, bukannya memperjuangkan politik adu domba yang akan memecah keharmonian kaum di negera ini,” jelasnya.

Lanjutan itu, beliau juga akan meminta nasihat daripada mana-mana peguam sama ada dia mempunyai local standi untuk membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pendirian PPIM yang lari dari tujuan asal penubuhannya.