Abdul Razak lengkapkan senarai 24 Ahli Majlis MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman wakil daripada parti UMNO yang mengangkat sumpah penerimaan jawatan hari ini telah melengkapkan senarai lantikan 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

 

Abdul Razak mengangkat sumpah di hadapan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran di Dewan Bandaraya dekat Padang Kota.

 

Abdul Razak ketika bercakap kepada Buletin Mutiara menyatakan bahawa lantikan sebagai Ahli Majlis merupakan satu amanah besar yang diberikan kepada beliau.

 

 

“Amanah yang dipikul ini bukan mudah dalam keadaan sekarang ini banyak perkara perlu dilakukan untuk membangkitkan satu perasan mesra rakyat bersama MBPP.

 

 

“Selain itu, saya akan menumpukan beberapa isu termasuklah kebersihan, penempatan semula penjaja, kesesakan lalu lintas, banjir  dan banyak lagi yang menjadi tanggungjawab untuk keselesaan rakyat,” ujar Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong.

 

 

Difahamkan, ini merupakan kali kedua Abdul Razak memegang jawatan berkaitan setelah manjadi Ahli Majlis MBPP selama tiga tahun ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

 

 

Pada 2 Oktober lalu, 23 orang Ahli Majlis bagi MBPP sudah mengangkat sumpah pengakuan penerimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN