GEORGE TOWN – Dato’ Abdul Razak Jaafar secara rasminya memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pagi ini.
Beliau tiba di pejabatnya kira-kira pada jam 7.50 pagi dan mengetik kad perakam waktu di pejabatnya dekat Tingkat 25, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Komtar.
Ketibaan Abdul Razak disambut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad.
Abdul Razak kemudiannya mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri kira-kira pada jam 8:30 pagi.
Pada pertemuan tersebut, Kon Yeow secara dasarnya menerangkan tentang misi dan visi negeri, projek-projek infrastruktur yang sedang dijalankan dan dalam proses perancangan, pembangunan negeri, sosio-ekonomi serta budaya dan masyarakat Pulau Pinang.
“Saya percaya dengan pengalaman luas Dato’ di dalam pelbagai bidang seperti perbandaran, sumber manusia, kerajaan tempatan, kewangan, perolehan dan kerja raya, ia bakal memanfaatkan serta boleh membawa Kerajaan Negeri ke arah mencapai Visi Penang2030.
“Walaupun penerimaan jawatan ini merupakan notis pendek, namun itu adalah satu kebiasaan buat penjawat awam untuk menyambung ‘perjuangan’ di mana-mana jabatan yang diarahkan. Selamat memulakan tugas,” ujarnya pada pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit tersebut.
Turut hadir, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini; Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah (Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan dan Sumber Manusia) dan Muhaili Mad Saad (Ketua Penolong Setiausaha (Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi).
Dalam pada itu, Abdul Razak turut memanjangkan ucapan terima kasih kepada Kon Yeow dan pentadbiran Kerajaan Negeri di atas pelantikannya.
“Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk mencurahkan bakti di Pulau Pinang,” katanya.
Pelantikan Abdul Razak adalah selepas beliau menerima serah jawatan daripada mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus semalam.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI