GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee meletakkan sasaran bagi penyertaan acara Larian ‘I Love Penang’ di Seberang Perai seramai 16,000 peserta.
Acara yang memasuki edisi ketiga tahun ini dijadualkan akan berlangsung pada 6 Oktober 2019 bertempat di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Komtar, Lip Chee berkata, penganjuran acara tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam menginspirasikan rakyat Pulau Pinang untuk kekal sihat dan aktif melalui acara larian.
“Sejak 2017 lagi, acara larian ‘I Love Penang’ ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga direkodkan dalam ‘Malaysia Book of Records’ sebagai acara paling ramai penyertaan.
“Istimewanya tahun ini, acara ini akan berlangsung dalam bulan sambutan Hari Sukan Negara selaras dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.
“(Dan) bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat menggalakkan penyertaan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun mana-mana badan sukan untuk turut sama menganjurkan pelbagai aktiviti kesukanan sepanjang bulan Oktober nanti sebagai tanda sokongan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang turut sama menghadiri sidang media tersebut.
Difahamkan, penganjuran acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan TLM Event Sdn. Bhd..
Yuran penyertaan adalah antara RM20 hingga RM30 mengikut kategori. Setiap penyertaan akan menerima sehelai kemeja-t, medal (penamat) dan juga sijil elektronik.
Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://howei.com/event_details/ilovepenangrunseberangperai2019 atau melalui Facebook, I Love Penang.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2019.
Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : ALISSALA THIAN