Acara perniagaan rekodkan EEI RM1.03 bilion pada 2023

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 10.44.45

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan anggaran nilai impak ekonomi atau expected economy impact (EEI) berjumlah RM1,033,856,600 sepanjang tahun 2023 bagi penganjuran acara perniagaan di negeri ini.

 

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, jumlah EEI tersebut adalah anggaran ke atas penganjuran 604 acara perniagaan tahun lalu.

 

Daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri melalui agensinya iaitu Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) telah menganjurkan 66 acara perniagaan dengan kehadiran delegasi seramai 73,843 orang.

 

“(Dan) ini membawa EEI sebanyak RM601 juta atau 53.07 peratus daripada keseluruhan EEI 2023,” ujarnya pada sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

 

Mengulas lanjut, Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memaklumkan bahawa PCEB telah membawa ‘buyer’ daripada seluruh dunia ke Pulau Pinang.

 

“Delegasi ‘buyer’ ini terdiri daripada penganjur, syarikat-syarikat pembekal dan Destination Management Company (DMC) mengadakan sesi business to business (B2B) bersama-sama para pemain industri di sini.

 

“Malah, PCEB juga mengadakan acara perdagangan seperti Penang International Travel Exchange (PITE) dan bekerjasama dengan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) untuk membida penganjuran acara perniagaan peringkat antarabangsa di Pulau Pinang,” jelasnya.

 

“Selain itu, pembinaan pusat konvensyen baharu dikenali sebagai Penang Waterfront Convention Centre yang dijangka siap pada tahun 2025 akan merancakkan lagi penganjuran acara perniagaan di negeri ini.

 

“(Dan) sekali gus membawa pulangan terhadap sektor dan subsektor seperti penginapan, katering dan sebagainya,” jelasnya.

 

Penjelasan Hon Wai itu adalah sebagai respons terhadap rangkaian soalan yang diajukan oleh ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI