Adam perlu sokongan moral

MUHAMMAD Adam Qayyum
MUHAMMAD Adam Qayyum

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI DUAOrang ramai diseru tampil menghulurkan sebarang bentuk bantuan kepada adik Muhammad Adam Qayyum, 1, yang mengidap penyakit kulit kronik, Ichthyosis sejak lahir di Permatang Binjai, Telok Air Tawar di sini.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Dua, Zahadi Mohammad, Muhammad Adam bukan hanya memerlukan bantuan perubatan, malah, paling utama adalah sokongan moral daripada semua lapisan masyarakat.

“Sejak dilahirkan, bukan sahaja tubuh Muhammad Adam, bahkan setiap inci dari hujung kepada hingga kaki permukaan kulitnya menegang dan retak.

“Bagaimanapun, beliau (Muhammad Adam) masih aktif seperti kanak-kanak sebayanya,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke rumahnya di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesakit Ichthyosis, Muhammad Firdaus Mehat.

Selain meninjau bentuk bantuan diperlukan, lawatan tersebut adalah bagi menyeru pesakit Ichthyosis supaya mendaftar sebagai ahli persatuan bagi mendapatkan sokongan secara berterusan pada aspek mental.

Tambah Zahadi, sebagai ahli masyarakat, adalah tidak wajar meminggirkan pesakit-pesakit Ichthyosis kerana penyakit genetic terbabit adalah tidak berjangkit.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Persatuan Kebajikan Pesakit Ichthyosis, sila hubungi Zahadi pada talian 019 – 507 3828.