GEORGE TOWN – Cabaran pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pendidikan negara sama ada di peringkat pengajian tinggi mahupun di bangku sekolah.
Tindakan pantas perlu diambil dalam mencorak langkah penyesuaian dan penyelesaian sejajar dengan perkembangan teknologi terkini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengakui bahawa penularan pandemik COVID-19 banyak mengubah proses pengajaran serta pembelajaran yang mana penggunaan teknologi digital diadaptasi sepenuhnya dalam pendidikan.
Di Pulau Pinang, kita juga tidak mempunyai pilihan lain sebaliknya menguasai gelombang Revolusi Industri 4.0 yang merangkumi Analisis Data Raya (Big Data Analytics), Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), E-Dagang, Penyumberan Khalayak (Crowd Sourcing) dan Internet Benda (Internet of Things).
“Sebelum inipun, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.24 juta bagi menubuhkan MakerLab di 89 sekolah (65 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah) di negeri ini, sekaligus membuka peluang dan pendedahan kepada generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi tinggi.
“(Dan) inilah normal baharu yang perlu kita semua hadapi dan adaptasi dalam menangani cabaran krisis kesihatan paling dahsyat,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM Dan SPM Tahun 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar dekat sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Bagan Dalam, M. Satees serta wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan sekolah-sekolah antara yang turut hadir dalam majlis berkaitan.
Menariknya, buat julung kali, majlis anugerah pelajar cemerlang diadakan tanpa kehadiran para pelajar.
“Ini adalah salah satu langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 yang diambil oleh Kerajaan Negeri walaupun Pulau Pinang merupakan negeri berstatus hijau atau sifar kes aktif sejak 8 Mei 2020, kita (Kerajaan Negeri) sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang gelombang baharu pandemik tersebut,” kongsi Kon Yeow yang turut menyeru agar semua pihak mengambil langkah sama dalam memerangi penularan COVID-19.
Pada kesempatan itu juga, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik yang menunjukkan kegigihan dan dedikasi dalam memastikan setiap anak didik mendapat ilmu dengan penerapan nilai-nilai murni yang dapat membentuk sahsiah dan jati diri para pelajar pada masa hadapan.
“Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak pada hari ini.
Kepada semua pelajar, hargailah setiap keringat ibu bapa anda demi memastikan kejayaan anda pada hari ini dan hari-hari mendatang kelak.
“Harapan saya, agar kita semua akan terus bersama-sama mencipta dan mengukir kejayaan dalm semua bidang demi meletakkan nama Pulau Pinang di persada dunia selaras Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” zahirnya.
Sementara itu, Ramasamy ketika menyentuh mengenai cabaran pendidikan masa kini yang boleh dimanfaatkan melalui penggunaan teknologi digital berkata bahawa perancangan awal perlu diambil dan memastikan proses pengajaran serta pembelajaran dapat diteruskan.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, salah satu cabaran yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah guru-guru dan pelajar tidak bersedia.
“Keduanya adalah kekurangan peranti seperti komputer dan sebagainya termasuk capaian internet yang terhad.
Faktor-faktor ini telah menjadikan proses pengajaran serta pembelajaran sebagai suatu cabaran baharu yang perlu dihadapi.
“(Dan) pastinya pandemik COVID-19 telah membuka ruang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh semua termasuk warga pendidik,” katanya yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.
Terdahulu, Kon Yeow yang diiringi oleh Ramasamy menyerahkan cek cura bernilai RM205,500 kepada wakil JPNPP sebagai saguhati kepada 251 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 80 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2019.
Jumlah tersebut merangkumi insentif bernilai RM1,000 kepada setiap pelajar cemerlang STPM dan insentif RM500 kepada setiap pelajar cemerlang SPM. Turut menerima insentif sama ialah 10 pelajar cemerlang di bawah kategori pelajar istimewa bagi kedua-dua peperiksaan berkaitan.
Dalam majlis sama, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Terbaik bagi SPM tahun 2019 diikuti oleh Sekolah Menengah (SM) Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam (kedua) dan SM Sains Kepala Batas (ketiga).
Manakala bagi STPM pula, SMJK Jit Sin sekali lagi diumumkan sebagai Sekolah Terbaik diikuti oleh SMJK Chung Ling, Butterworth (kedua) dan SMJK Chung Hwa Confucian, George Town (ketiga).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN