BERTAM – Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap agar seluruh umat Islam dapat mengadaptasikan semangat Maulidur Rasul ke dalam diri agar menjadi pedoman hidup.
Harapan itu disampaikan Ahmad Fuzi semasa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1444H/2022M anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat Masjid Abdullah Fahim, di sini pada 8 Oktober lalu.
“Di samping itu, seluruh umat Islam juga diharap dapat menjalani kehidupan yang lebih baik sama ada di dunia mahupun di akhirat,” ujar beliau dalam majlis yang turut dihadiri Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan. Mohd. Nor serta wakil-wakil agensi islam yang lain.
Pada majlis sama, Ahmad Fuzi turut menyampaikan anugerah–anugerah Qudwatur Rasul dan Tokoh Maulidur Rasul kepada para penerima dengan disaksikan oleh dif-dif kehormat.
Sambutan pada tahun ini menyaksikan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff S. Mirasa diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul manakala Syarifah Murni Kasim@Musa pula dipilih menerima anugerah Qudwatur Rasul (Usahawan).
Sementara itu, Ooh Sin Hwa @ John Phengkhamruang dipilih sebagai penerima Qudwatur Rasul Khas (Bukan Muslim), Dr. Siti Maryam Datuk Kamarudin (Qudwatur Rasul [Shabab]) dan Ooi Chooi Beng (Qudwatur Rasul [Saudara Baru]).
Sebagai rekod, majlis sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun pada 12 Rabiulawal adalah bagi memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dan memuliakan junjungan besar umat Islam sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah S.A.W..