Addnan, Ketua Jabatan Terbaik MBPP 2015

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Seramai 237 pegawai dan kakitangan pelbagai pangkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 116 pesara diraikan dalam Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBPP Tahun 2016 di Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

Selain sijil penghargaan perkhidmatan cemerlang, para penerima turut menerima token dan cenderahati daripada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

Ketika menyampaikan ucaptamanya, Patahiyah menyeru agar semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan memberi penekanan terhadap aspek pembentukan sikap yang lebih positif di samping berupaya menerima dan mengadaptasi perubahan dalam persekitaran bekerja.

Malah, beliau turut menekankan sifat-sifat dalaman seperti amanah, jujur, rajin, bertanggungjawab, ikhlas dan dedikasi yang menjadi asas penyampaian perkhidmatan terbaik untuk rakyat Pulau Pinang.

“Pihak Majlis sentiasa menekankan konsep budaya kerja berkualiti tinggi dalam kalangan kakitangannya agar pembudayaan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kemampuan dan kewibawaan Majlis,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai MBPP.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kejuruteraan MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali, 57, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur setelah dianugerahkan sebagai Ketua Jabatan Terbaik pada majlis berkaitan.

“Alhamdulillah, syukur, setelah 32 tahun berkhidmat bersama Majlis, akhirnya kerja keras saya diiktiraf dan ia penuh bermakna kepada saya.

“Namun, ini bukanlah noktah, sebaliknya semangat untuk terus bekerja keras dalam merealisasikan impian Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya yang sesuai didiami perlu diteruskan.

“Selain itu, cabaran untuk meningkatkan mobiliti pengangkutan awam dan menjadikan ia medium pengangkutan utama juga memerlukan komitmen besar,” ujarnya yang telah mula menabur khidmat bersama MBPP pada tahun 1984.

Bagi Pembantu Am Kejuruteraan, S. Arulanthu, 60, yang telah 36 tahun menabur khidmat dengan MBPP turut merasa gembira dengan pengiktirafan yang diberikan.

“Walau pun telah bersara, pengalaman sepanjang tempoh perkhidmatan cukup bermakna, apatah lagi apabila menerima Pingat Bakti Setia (PBS) dan penyertaan dalam pertandingan perahu naga di Australia yang saya sendiri tak pernah terpikir pun dapat peluang seperti itu.

“Sayanglah mahu tinggal kerja dan kawan-kawan. Kalau diberi peluang, memang mahu balik semula (berkhidmat dengan MBPP),” ujar bapa kepada tiga anak tersebut.

Turut berkongsi pengalaman adalah Jururawat Masyarakat di MBPP, See Yoon Peng, 61, yang telah menabur khidmat selama 34 tahun dengan PBT berkaitan.

“Pengalaman paling mencabar ialah ketika memberi rawatan kecemasan.

“Pernah suatu ketika, salah seorang daripada pekerja pengsan akibat serangan jantung, walaupun dalam keadaan menjadi cemas, sebagai jururawat, saya perlu berikan bantuan kecemasan sebelum merujuk beliau kepada hospital,” ujarnya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.