Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : VICTOR SEOW KOO TATT
GEORGE TOWN – Watak-watak adiwira terkenal seperti Superman, Batman, Flashman, Wonder Woman dan Green Lantern bakal ‘memenuhi’ Padang Kota Lama di sini sempena penganjuran Justice League Run pada 30 Ogos ini.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, acara tersebut merupakan kali pertama diadakan di negeri ini.
“Ia (program) adalah sangat istimewa. Justeru, orang ramai diseru untuk bersama-sama memeriahkannya sambil mengambil peluang untuk merakam gambar kenang-kenangan,’’ katanya pada majlis sidang media khas yang diadakan di atas bas pelancongan dua tingkat Hop On Hop Off (HOHO) yang merupakan salah satu penganjur di sini baru-baru ini.
Turut menemani, isteri beliau, Dahlia Hamzah, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan isteri serta anak masing-masing.
Dalam pada itu, bagi Chee Keong, beliau menyatakan bahawa larian tersebut adalah prasambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 negara.
Acara larian tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu, tiga kilometer dan lapan kilometer.
Bagi kategori tiga kilometer, peserta bakal melalui Lebuh Pantai, Lebuh Pasar, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Farquhar dan Lebuh Light.
Kategori lapan kilometer, Lebuh Pantai, Lebuh Chulia, Jalan Masjid Kapitan Keling, Pesara Claimant, Lebuh Carnarvon, Lebuh McNair, Jalan Magazine, Jalan Penang, Jalan Burmah, Jalan Pangkor, Jalan Sutan Ahmad Shah dan Lebuh Farquhar.