Adu jika pemaju tipu rumah kuota Bumiputera tiada – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, mereka yang dinafikan hak oleh pemaju untuk membeli rumah kuota Bumiputera di negeri ini boleh membuat aduan lanjut kepada Jawatankuasa Pelepasan Kuota Rumah Bumiputera dipengerusikan beliau sendiri.

“Kita memang ada menerima beberapa aduan di mana ada pemaju tidak melaksanakan tanggungjawabnnya dengan memohon pelepasan rumah kuota Bumiputera untuk dijual kepada bukan Bumiputera bagi mendapatkan untung yang lebih.

“Dalam satu kes aduan sedemikian, selepas pengadu dan pemaju dipanggil untuk siasatan lanjut pada 18 Julai baru-baru ini, jawatankuasa mengarahkan
pemaju melaksanakan tanggungjawabnya dengan menjual satu unit rumah kuota Bumiputera di tanah besar (Seberang Perai) kepada pengadu yang berhak terbabit.

“Kalau ada lagi kes seperti ini, sila buat aduan rasmi kepada jawatankuasa saya kerana kita (Kerajaan Negeri) mahu pemaju melaksanakan tanggungjawabnya menyediakan rumah kuota Bumiputera dan kita mahu Bumiputera benarbenar boleh menikmati haknya di negeri ini,” jelasnya kepada wartawan baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, ketegasannya itu berdasarkan amalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang sekian lama menggariskan tanggungjawab pemaju untuk membina 30 peratus rumah mampu milik untuk kuota Bumiputera bagi satu-satu projek pemajuan di negara ini.

“Pemaju tak boleh kata, rumah kuota Bumiputera sudah habis dijual atau tiada kalau mereka yang berhak nak datang beli daripada pemaju, dan pemaju kemudian datang kepada kita (Jawatankuasa) untuk memohon pelepasan kuota dengan membayar sumbangan kepada Kerajaan Negeri.

“30 peratus kuota Bumiputera ini mesti dibina oleh pemaju untuk mereka yang berhak menikmati diskaun 5 peratus dari harga pembelian,” tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.