Adu menerusi kod QR jika pengendalian makanan di bazar Ramadan tak bersih – Exco

(Dari kanan) DR. Norlela Ariffin, Dr. Fazilah Binti Shaik Allaudin dan Rafeah Sibil semasa gimik pelancaran pengimbas kod QR Aduan BKKM JKNPP selepas acara jerayawara Bazar Ramadan Bertam Putra dekat Kepala Batas pada 30 Mad 2023.

BERTAM – Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berharap para pengunjung bazar Ramadan di Bertam Putra dapat memanfaatkan kemudahan kod QR bagi membuat aduan jika terdapat mana-mana gerai di sini dilihat tidak mengamalkan kebersihan serta menyediakan makanan berkualiti di sini.

 

DR. Norlela Ariffin

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin acara jerayawara anjuran BKKM JKNPP di sini berkata, para pengunjung bazar Ramadan perlu memilih gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik.

“JKNPP menggalakkan pengunjung bazar Ramadan untuk mengimbas kod QR bagi mengemukakan aduan berhubung kebersihan dan kualiti makanan di bazar (jika ada),” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu.

Tambah Norlela lagi, tidak memakai apron dan penutup kepala; tiada suntikan anti-tifoid, memakai barang kemas dan aksesori tangan, tidak menjaga kebersihan premis dan bekalan air yang tidak selamat antara kesalahan yang biasa ditemukan semasa operasi BKKM di lapangan.

“Setakat ini belum ada lagi notis kompaun dikeluarkan kepada mana-mana pengendali makanan baik di bazar Ramadan mahupun gerai makanan atau restoran serta lot komersial, sempena Ramadan (2023).

“Tetapi, pada tahun 2022 sebanyak 1,723 pemeriksaan premis makanan telah dilakukan dan didapati sebanyak 1,701 gerai dalam keadaan memuaskan dengan mendapat markah melebihi 80 peratus.

“Sebanyak 116 jenis makanan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Butterworth bagi analisis mikrobiologi…dan hasil keputusan mendapati sebanyak sembilan sampel telah tercemar dengan bakteria,” jelasnya sambil menjelaskan bahawa seramai lapan peniaga telah dikompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6,000.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Fazilah Binti Shaik Allaudin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (BKKM), Rafeah Sibil turut menyertai majlis jerayawara yang dianjurkan serentak dengan operasi pemeriksaan kebersihan dan kualiti makanan di sini.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Norlela memberitahu bahawa sehingga 28 Mac 2023 sebanyak 951 gerai di 13 tapak bazar Ramadan sekitar negeri Pulau Pinang telah dibuat pemeriksaan, yang mana 53 sampel makanan pelbagai jenis secara rawak telahpun diambil untuk proses analisis di Jabatan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Butterworth.

 

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR