SUNGAI PINANG – Jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera khususnya dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri ini masih lagi rendah.
Menyedari keadaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata pihaknya sejak dua bulan lepas telah mewujudkan kaunter perdaftaran bergerak di kawasan penempatan penduduk.
“Kita sedar salah satu faktor golongan berisiko ini masih belum mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin adalah kerana tiadanya kemudahan telefon pintar.
“Jadi, saya dengan bantuan pegawai seranta dan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah menganjurkan kaunter bergerak untuk membantu warga emas dan golongan berisiko yang lain membuat pendaftaran secara luar talian (offline) dengan mengisi borang dan sebagainya.
“Sambutan pada usaha ini ada, masih rendah, mungkin mereka masih bimbang dengan kesan sampingan sekiranya menerima vaksin ini,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 17 Mac 2021.
Dalam reaksi spontan, ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pula berpendapat bahawa Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) sebagai ejen propaganda Persekutuan sepatutnya lebih agresif turun padang untuk melakukan kerja-kerja pendaftaran vaksin yang melibatkan warga emas serta golongan berisiko lain.
“Setakat ini kita menggunakan pelbagai cara untuk mendorong warga emas mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin, di Pusat Khidmat ADUN Permatang Pasir, dengan sebarang informasi menerusi Facebook dan WhatsApp.
“Selain itu, dengan bantuan MPKK serta organ Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mengedarkan risalah ke kawasan tumpuan awam seperti pasar awam, masjid, surau dan RIBI (rumah ibadan bukan Islam).
“Alhamdulillah, walaupun kempen daftar vaksin ini mendapat respons positif dalam kalangan warga emas dan golongan berisiko, saya sendiri percaya percaya tahap kesedaran masih belum menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi,” jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.
Sementara itu, ADUN Komtar, Teh Lai Heng memberitahu bahawa pihaknya turut membuka kaunter pendaftaran penerima vaksin di kawasan tumpuan awam.
“Seperti pada pagi semalam, pasukan saya bersama-sama MPKK Jalan Irving telah pergi ke Pasar Pagi Jalan Anson bagi membantu warga negeri yang tiada telefon pintar untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19.
“Ketika ini, pasukan Pusat Khidmat (ADUN Komtar) dan MPP giat turun padang untuk bantu orang ramai daftar (secara luar talian),” jelasnya yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada 15 Mac lepas menggesa Kerajaan Persekutuan melakukan kempen yang lebih agresif untuk mendorong orang awam segera mendaftar diri sebagai penerima vaksin.
Bercakap kepada pemberita di Komtar, beliau berkata bahawa perlu ada pendekatan yang lebih mesra untuk golongan warga emas dan golongan berisiko lain untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksi, sekiranya mereka tidak biasa menggunakan MySejahtera atau tidak mempunyai telefon pintar.
“Paling penting adalah keperluan untuk kita semua daftar sebagai penerima vaksin.
“Apa yang saya tahu, mereka yang telah berdaftar di Pulau Pinang hampir 300,000 di Pulau Pinang.
“Angka pendaftaran tersebut adalah tidak mencukupi kerana objektif kita (Pihak Berkuasa Negeri) adalah untuk pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 1.78 juta orang, iaitu kira-kira hampir 1.3 juta orang mesti daftar sebagai penerima vaksin,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.