GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mencadangkan agar masalah gelandangan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkaitan.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan Air Itam merupakan salah satu lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai pelancong bukan sahaja di dari dalam bahkan juga luar negara yang tertarik dengan tarikan pelancongan di situ.
“Saya memuji usaha Kerajaan Negeri atas pembukaan Pusat Transit Gelandangan yang pertama di Pulau Pinang, akan tetapi masih lagi terdapat masalah gelandangan, pengemis, kutu rayau di sekitar KADUN Air Itam.
“Air Itam sering menjadi tumpuan kebanyakan pelancong yang berkunjung ke tempat menarik pelancongan seperti Bukit Bendera, Kuil Kek Lok Si dan banyak lagi, secara tidak langsung mereka (gelandangan) mengambil kesempatan dengan meminta derma dari pelancong.
“Hal ini akan menyebabkan imej negeri yang popular sebagai hab pelancongan tercemar dek permasalahan sebegini timbul dan menyukarkan peniaga atau orang awam dalam menjamin keselesaan pelancong,” katanya semasa membahaskan Bajet 2024 Negeri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agensi yang berkaitan untuk sering turun padang dalam menjalankan operasi membanteras gelandangan bukan sahaja di KADUN Air Itam, malah juga di sekitar negeri.
“Saya berpandangan dan memohon agar setiap agensi yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menjalankan Operasi Bersepadu Menyelamat bersama.
“Selain itu, agensi berkaitan telah diberikan kuasa di bawah Akta Orang Papa 1977 yang menggantikan Akta Kutu Rayau 1965; dan Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955, oleh itu diharapkan pihak JKM terutamanya akan melaksanakan tindakan segera dan memanfaatkan Pusat Transit Gelandangan yang baru bagi menyelesaikan masalah yang telah saya bangkit tadi,” ulasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD