PENANTI – Seawal jam 6.45 pagi, sudah kelihatan penduduk lokal serta pengunjung menjalani aktiviti riadah seperti berjoging, jalan-jalan sambil mencerap bunyi burung hijrah yang singgah di perdamaian desa Kampung Terus dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.
Jadi, tidak hairanlah penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang masuk siri kedua pada tahun lepas dikatakan mencetuskan fenomena baharu unik, hatta mendapat pengiktirafan sulung iaitu Anugerah Malaysia Landscape Architecture Award (MLAA) 2019.
Pada tahun ini, mungkin tiada pesta lokal tersebut dianjurkan di sini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dijadual sehingga 31 Ogos depan.
PKPP entah ditarik semula pada tanggal 31 Ogos depan atau diteruskan lagi, bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya.
Kalau ‘bunga-bunga’ gelombang kedua pandemik COVID-19 dijangka kembali, mungkin prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sepanjang tempoh PKPP akan diperketatkan, termasuk sekitar kawasan eko pelancongan desa di Kampung Terus.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan LuarBandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata, musim padi mula ‘masak’ dan ‘menguning’ ketika ini nampaknya tidak juga menyepikan Kampung Terus, terutama pada awal pagi Sabtu dan Ahad.
Susulan itu, Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti memberitahu bahawa penganjuran acara makan sarapan secara santai dan percuma pada awal pagi ini adalah bertujuan menghargai pengunjung yang tidak putus-putus ke sini.
Pun begitu, menurutnya lagi, acara ringkas pada pagi ini tetap mengambil kira pelaksanaan PKPP sehingga 31 Ogos depan yang membataskan penganjuran pesta lokal tersebut, seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Pada hari cuti umum dan cuti hujung minggu, memang begitu ramai komuniti lokal dan pengunjung tempatan datang untuk menikmati pemandangan matahari terbit, jadi pejabat saya menganjurkan acara sarapan pagi secara ringkas dan percuma pada pagi ini.
“Ketika ini negeri masih dalam tempoh PKPP, kita tidak boleh menganjurkan Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang seperti tahun-tahun sebelum ini, maka acara ringkas sarapan percuma dengan kehadiran kurang 200 orang ini, diharap tetap merai pengunjung ke sini.
“Sekurang-kurangnya mereka yang masih berkunjung ke Kampung Terus pada awal pagi untuk aktiviti joging atau mencerap bunyi burung hijrah yang singgah di sini pada musim ‘padi masak’ dan ‘menguning’ nanti (selepas PKPP), mereka akan tetap dapat menikmati arca-arca unik juga, untuk pengunjung merakamkan gambar kenang-kenangan.
Acara sarapan percuma pada pagi ini mungkin adalah Normal Baharu menyambut siri ketiga Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang, dengan masing-masing tetap mengadakan aktiviti, ikut SOP PKPP yang ketat dan amalan 4P (Penjarakan Sosial, Pakai Pelitup Muka, Pencucian Tangan Degan Sabun dan Perhatikan Gejala COVID-19,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 26 Julai 2020.
Turut serta, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, Baharudin Abdullah; dan barisan anggota Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) tempatan.
Difahamkan pada 17 Ogos tahun lalu, Ketua Menteri Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow diiringi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut menyertai siri kedua Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang di sini.
Ketika berucap, Norlela memberitahu bahawa Kon Yeow sendiri berpendapat keunikan pesta lokal itu akan menjadi tarikan baharu pelancong ke bahagian Seberang Perai terutama Penanti.
Tambah Norlela lagi, penganjuran pesta pada ketika itu mendapat pengiktirafan MLAA 2019.
“Majlis penyampaian anugerah (MLAA 2019) tersebut sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 14 Ogos 2020 di George Town dengan dihoskan sendiri oleh Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), tetapi mungkin juga akan ditangguhkan kerana PKPP ini,” jelasnya lagi.
Lebih dari itu, Norlela memberitahu bahawa keunikan pesta lokal tersebut diharap dapat menjana pendapatan baharu buat penduduk tempatan terutama nelayan sungai kira-kira 50 orang, di Kampung Terus.
“Nelayan tempatan di Kampung Terus terjejas pendapatan mereka atas pelbagai sebab seperti banyak ikan mati di sungai ini, selain pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini.
“Dengan pengunjung tak putus-putus ke Kampung Terus untuk menikmati keindahan alam semula jadi, flora dan fauna, sungai, selepas ini kita berharap akan ada kemudahan ‘teksi air’ dan sebagainya, saya mempunyai harapan yang lebih besar iaitu sektor ekopelancongan lokal ini akan menjana pendapatan baharu kepada komuniti tempatan,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ENG KOK WEI