ADUN Bagan Dalam harap umat Islam tabah sambut Ramadan, biasakan dengan normal baharu

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees pagi ini mengedar pek barangan makanan keperluan asasi kepada 65 keluarga Melayu di Kampung Sungai Nyior di sini.

Bercakap kepada pemberita, Satees berharap seluruh umat Islam tabah menyambut bulan Ramadan pada kali ini, iaitu membiasakan diri dengan normal atau kebiasaan kehidupan baharu ketika menjalani ibadah berpuasa tahun ini.

KETUA Menteri (tengah) diiringi M. Satees (kiri) menyantuni salah seorang penerima ‘bantuan Ramadan’ di Kampung Sungai Nyior, Bagan Dalam di sini pada pagi tadi.

“Ramadan kali ini tidak akan ada lagi program pengimarahan masjid, sembahyang tarawih, majlis berbuka puasa dan sahur untuk meraikan umat Islam menjalani ibadah berpuasa, kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilanjutkan sehingga 12 Mei (2020)

“Ini, bagi saya adalah ‘new normal’ yang kita terpaksa lalui bersama-sama tidak kira umat Islam mahupun bukan Islam, demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

“Malah, Ramadan kali ini juga kita tidak boleh memberi sumbangan untuk majlis berbuka puasa, jadi dalam keadaan ‘new normal’ ini, kita agihkan bantuan khas Ramadan kepada 65 keluarga di Kampung Sungai Nyior yang kesemuanya adalah beragama Islam, demi mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

“Saya harap umat Islam tabah menyambut Ramadan dengan menyesuaikan diri menerusi ‘new normal’ ini,” jelasnya pada sesi turun padang berkaitan di sini pada 25 April 2020.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dan K. C. Tan (Pembantu Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan) turut sertai majlis tersebut.

(Dari kiri) SR. Rozali Mohamud, Ketua Menteri dan M. Satees dalam sidang media di Pasar Awam Sri Bandar di sini pada awal pagi tadi.

Sebelum itu, Kon Yeow turut bersama-sama Satees dan Rozali meninjau keadaan pelaksanaan fasa 3 PKP di Pasar Sri Bandar dan Pasar Apollo, sambil mengedarkan pelitup muka kepada para penjaja di kedua-dua pasar awam tersebut dekat Butterworth.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD