ADUN bantu promosi jualan penjaja, peniaga kecil tempatan

Admin

GEORGE TOWN – Golongan penjaja dan peniaga kecil merupakan antara golongan yang teruk terkesan akibat pandemik COVID-19 terutamanya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Keadaan menjadi lebih sukar apabila ada dalam kalangan kakitangan di sesebuah syarikat diberhentikan dan terpaksa memilih untuk berniaga sebagai ‘jalan keluar’ bagi menampung keperluan harian.

 

Pelbagai jenis bantuan disediakan oleh pihak kerajaan sama ada secara tunai mahupun subsidi khas untuk membantu golongan berkaitan meneruskan kelangsungan perniagaan serta kehidupan.

 

Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memberi bantuan kewangan secara ‘one-off’ menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang serta pengecualian sewa premis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Baru-baru ini, Buletin Mutiara sempat menghubungi tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mendapatkan pandangan berhubung bentuk bantuan yang ditawarkan sehingga kini kepada golongan penjaja serta peniaga kecil di negeri ini.

Antaranya ADUN Air Itam, JOSEPH NG SOON SIANG yang membantu peniga-peniaga kecil dengan mempromosikan produk jualan mereka kepada umum di sekitar Air Itam.

 

“Misalnya, kalau saya dihubungi organisasi tertentu untuk salurkan bantuan berbentuk makanan, memang kita akan beri cadangan untuk dapatkan bekalan daripada peniaga-peniaga di Air Itam seperti pasar awam, kompleks makanan dan sebagainya.

 

“(Dan) secara tidak langsung inisiatif ini membantu peniaga-peniaga kecil untuk menjana pendapatan,” ujarnya.

 

Menurut Soon Siang, bantuan berbentuk keperluan asas harian juga tidak henti-henti disalurkan sebanyak enam kali seminggu.

 

“Bagi makanan siap dimasak pula, kita buat edaran 150 hingga 200 pek makanan setiap hari melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)… kalau hari ini kita bagi untuk MPKK Kampung Melayu contohnya, esok MPKK Kampung Pisang, lusa MPKK Happy Valley dan seterusnya,” katanya.

Di Pulau Betong pula, ADUN kawasan, MOHD. TUAH ISMAIL mengambil pendekatan membantu usahawan kecil yang kehilangan kerja dengan memberi bantuan peralatan memulakan perniagaan.

 

“Salah seorang daripadanya adalah bekas pengurus hotel yang kehilangan pekerjaan dan kini menjadi peniaga air di tepi jalan setelah mendapat bantuan peralatan.

 

“Saya juga akan borong teh ais yang dijualnya untuk diberikan kepada barisan petugas-petugas yang terlibat dalam agihan bantuan COVID-19 dan sebagainya.

 

“Waktu pandemik sekarang agak getir kepada semua pihak, saya turut mengadakan perbincangan bersama-sama YB Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa), Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan) untuk mewujudkan situasi menang-menang antara pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta peniaga-peniaga kecil yang ramai sekarang ini,” ulasnya yang turut membantu usahawan tani di kawasan terbabit.

 

Dalam pada itu, A. KUMARESAN, selaku ADUN Batu Uban ketika dihubungi memaklumkan bahawa beliau mengambil kesempatan mempromosikan perniagaan peniaga kecil melalui platform media sosial.

 

“Justeru, kepada rakan dan pengikut media sosial boleh mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban dan seterusnya mereka boleh terus ke lokasi.

 

“Dalam tempoh pandemik ini, diakui memang ramai terpaksa menjadi penjaja kecil demi meneruskan kehidupan mereka.

 

“Perkara ini memang ada kita bincangkan bersama-sama MBPP agar kelonggaran diberikan sementara waktu untuk mereka beroperasi di saat pandemik yang belum reda ini,” katanya yang turut menggalakkan para peniaga dan penjaja kecil berjinak-jinak dengan urus niaga secara dalam talian.

 

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING