ADUN Bayan Lepas cadang naik taraf Padang Awam Teluk Kumbar kepada stadium mini, demi anak muda

BAYAN LEPAS – Pembangunan infrastruktur untuk mencari dan mengilap bakat baharu dalam kalangan anak muda amat penting, kata Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

 

Menurutnya, cadangan untuk menaik taraf Padang Awam Teluk Kumbar dekat sini kepada stadium mini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna dalam memastikan pembangunan infrastruktur seiring dengan pembangunan bakat.

 

“Saya menyokong apa yang dikatakan oleh YB Azrul (merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz).

 

“Saya percaya, kalau naik taraf padang awam ini akan memberi lebih semangat kepada anak-anak muda di sini untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan khasnya bola sepak.

 

“Oleh yang demikian, saya telah syorkan supaya permohonan dibuat dalam tempoh dua bulan ini, awal Januari nanti (2023) boleh mulakan kerja jadi akan siap sekitar bulan Mac atau April tahun depan,” ujarnya kepada pemberita sejurus hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Awam Teluk Kumbar dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis sama, turut diadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Teluk Kumbar FC dan Bukit Gemuruh FC serta penyerahan jersi bola sepak.

 

Azrul Mahathir ketika ditemui memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf padang awam tersebut meliputi kerja-kerja penambahan tempat duduk pengunjung dan tandas yang sempurna.

 

“Dewan orang ramai di tepi padang ini juga dicadangkan supaya diambil alih dan diletakkan di bawah pengurusan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya.

 

“Saya yakin, di bawah pimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, projek ini mampu dilaksanakan demi keselesaan anak-anak muda dan masyarakat setempat di sini,” jelasnya.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI