ADUN Bertam buka 12 khemah Jualan Bergerak Rahmah sempena Aidilfitri

Admin
img 7761 SUASANA di Program Jualan Bergerak Rahmah anjuran Pusat Khidmat ADUN Bertam di sini pada petang tadi.

BERTAM – Jualan Bergerak Rahmah sempena Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican di pejabatnya dekat Permatang Manggis menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bermula jam 3.00 petang, rakyat berpeluang membeli ayam segar dengan harga RM7.50 per kilogram (kg), daging segar tempatan (RM28/kg), telur gred B (RM7 sepapan), minyak masak 2kg (RM5) dan beras import tempatan 5kg (RM15/pek).

Inisiatif jualan murah itu turut menawarkan produk lain iaitu tepung gandum jenama Ros (RM2.10), sardin AAA (RM4.50), bihun Biho (RM2.50), biskut Hup Seng Cracker 425 gram (RM3.90), sabun cuci baju cecair jenama Top (RM15.20) dan lampin bayi pakai buang (RM24 per pek).

img 7762
RIDZUAN Din

Wakil penganjur, Ridzuan Din berkata, pihaknya sengaja memilih untuk menganjurkan Jualan Bergerak Rahmah
di perkarangan Pusat Khidmat ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican pada sebelah petang untuk memberi sokongan pada operasi perniagaan pada sebelah pagi di Pasar Awam Kepala Batas.

“Memang Datuk Seri Reezal Merican sendiri minta dianjurkan pada sebelah petang, sebab nak bagi sokongan pada operasi perniagaan di Pasar Awam Kepala Batas yang berada berhadapan dengan Kompleks Perniagaan Permatang Manggis (Pusat Khidmat ADUN Bertam).

“Saya lihat program sebegini memang banyak membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, program ini memang menunjukkan kerajaan hari ini cakna dengan kehidupan rakyat dan boleh jana sokongan rakyat,” jelasnya lagi.

Buletin Mutiara difahamkan Pusat Khidmat ADUN Bertam pada tahun lepas telah menganjurkan Program Jualan Bergerak Rahmah di tapak parkir Kompleks Perniagaan Permatang Manggis.

Kata Ridzuan, penganjuran siri ketiga Program Jualan Bergerak Rahmah di sini pada petang ini istimewa dengan 12 khemah perniagaan dibuka bagi menawarkan pelbagai barangan keperluan asasi rakyat, sempena musim perayaan Aidilfitri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS