BUKIT TENGAH – Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Juru yang siap dinaik taraf hasil peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung sebanyak RM19,960 kini dapat beri keselesaan kepada warga sekolah terbabit.
Berucap pada perasmian ringkas 12 Mac lalu, Hsiao Leung berharap sumbangan beliau itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha menambah baik institusi pendidikan di sekolah berkenaan.
“Kerja-kerja menaiktaraf pentas di sekolah ini mula dijalankan sekitar Disember tahun lalu dan telah siap sepenuhnya pada awal Januari tahun 2020 dengan kos peruntukan berjumlah RM19,960.
“Sebelum ini, pihak sekolah telah hadir ke pejabat saya untuk menghantar pemohonan bagi menaiktaraf pentas tersebut agar ia dapat digunakan untuk masa-masa akan datang dengan lebih selesa,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun pendidikan bukanlah sepenuhnya bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun bantuan masih diberikan demi memperkasakan pembangunan modal insan.
“Melalui inisiatif yang diambil dengan menambah baik pentas ini, ia sekaligus memperlihatkan bahawa pihak sekolah sangat komited dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid.
“Saya amatlah berharap agar melalui sumbangan yang diberikan, ia dapat memberi keselesaan kepada seluruh warga SK Juru untuk menganjurkan program berbentuk akademik serta majlis-majlis keraian lain,” katanya.
Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: ADUN