ADUN cadang isu bukan warganegara sewa unit kediaman awam ditangani

Admin
b73bb312 1cfc 496e a073 f08a2a72d535 A. Kumaresan

GEORGE TOWN – Pulau Pinang perlu mengambil langkah proaktif bagi menangani isu warga asing khususnya Rohingya menyewa rumah di kawasan kejiranan warganegara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata di Pulau Pinang memerlukan undang-undang khusus seperti negara Republik Rakyat Singapura yang mana ada menggariskan had bilangan penghuni, syarat kebersihan dan keselamatan untuk bukan warganegara.

Tidak cukup dengan syarat itu, beliau berkata pemilik rumah yang mahu menyewa unit kediaman kepada bukan warganegara juga mesti memenuhi beberapa syarat merangkumi proses pendaftaran penyewa, keperluan dokumen dan prosedur pengawasan.

“Tanggungjawab (merekodkan data penyewaan unit kedaiman kepada bukan wargnegara) ini boleh diambil oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) atau Persatuan Penduduk,” jelasnya semasa membahaskan Belanjawan 2025 Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 25 November 2024.

Selain itu, beliau mencadangkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MSBP) supaya melaksanakan audit dan pemantauan berkala ke atas unit kediaman yang disewa oleh warga asing.

“Kita tidak dapat menafikan bahawa warga asing, termasuk mereka yang melarikan diri dari konflik dan penindasan seperti komuniti Rohingya, memerlukan perlindungan dan tempat tinggal.

“Namun, kehadiran mereka di kawasan kediaman penduduk tempatan juga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan, kebersihan, dan penggunaan kemudahan awam.

“Oleh sebab itu, adalah penting bagi Kerajaan Negeri untuk mempunyai garis panduan yang jelas dalam pengurusan penyewaan rumah kepada warga asing,” jelasnya lagi sambil menyifatkan ketiga-tiga syor tersebut demi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia di kawasan kejiranan sekitar negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS