ADUN cadang Kementerian Belia & Sukan wujudkan geran bantu tonjolkan bakat muda

Admin

BATU UBAN – Sebagai dorongan di atas kecemerlangan Ain Insyirah Rosli, 8, mewakili negara di dalam Kejohanan Catur Remaja Asia bertempat di Chiang Mai, Thailand pada 31 Mac hingga 10 April lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan hari ini menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada jaguh cilik berkenaan.

Sumbangan penghargaan tersebut kepada adalah ekoran kejayaan beliau mewakili negara pada usia baru setahun jagung setelah menjuarai Malaysia National Youth Chess Championship 2018 Under 8 Girls di Johor Bahru.

Kumaresan ketika menyampaikan cek berkenaan berkata, kejayaan jaguh cilik kelahiran Batu Uban tersebut bukan sahaja inspirasi kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi bakat yang tengah berkembang tersebut sewajarnya diketengahkan sebagai pelapis generasi akan datang.

Di usia semuda ini, Ain telah memenangi pelbagai cabaran catur sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri hingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau menunjukkan kemahiran teknikal dan pemikiran strategik yang jitu serta ketahanan mental yang tinggi untuk berjaya. Malah, kejayaan beliau di dalam sukan rakyat ini dan bidang pembejaran adalah seiring,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Batu Uban, di sini sebentar tadi.

Hadir sama ayahnya, Rosli Mat Seliaman, 46, dan ibunya, Zaiyana Mohd Hussain, 39.

Justeru, Kumaresan menyeru badan-badan korporat mahupun pihak Kerajaan Negeri agar tampil membantu dan memberikan sokongan buat Ain Insyirah di dalam bidang tersebut agar bakatnya tidak terpadam begitu sahaja.

Saya difahamkan, di atas faktor kekangan duit untuk bertanding di peringkat kebangsaan, ibu dan ayahnya terpaksa menolak beberapa pelawaan untuk adik Ain bertanding di luar negara.

Mungkin, pihak Majlis Sukan atau Kementerian Belia dan Sukan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu geran bagi membantu bakat-bakat muda untuk ditonjolkan ke hadapan….menyediakan mereka peluang dan ruang untuk lebih maju dengan bakat yang ada,” ujarnya.

Menurut ibunya, Zaiyana, beliau dan suami terpaksa menolak tiga tawaran di peringkat antarabangsa kerana faktor kewangan yang besar untuk membawa anaknya bertanding di peringkat antarabangsa.

Antara tawaran bermain catur di peringkat antarabangsa yang ditolak ialah di Romania, Mongolia dan terbaru Shang Hai…. kerana setiap pertandingan di luar negara memerlukan kos kewangan tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kami sendiri,” ujarnya.