ADUN cadang tingkat hasil cukai hiburan tambah pendapatan Kerajaan Negeri

Admin
whatsapp image 2024 05 27 at 16.14.21

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mencadangkan supaya hasil cukai hiburan ditingkatkan sebagai salah satu inisiatif bagi menambah hasil Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, pada masa sama enakmen hiburan juga perlu ditambah baik bagi menggalakan kegiatan ekonomi kreatif dan hiburan di negeri ini.

“Kita dapat melihat bagaimana negara jiran, dalam penganjuran beberapa acara hiburan dan konsert oleh penyanyi terkemuka telah berjaya menjana RM1.7 bilion kepada industri pelancongan mereka.

“Pulau Pinang mempunyai kemudahan MICE, stadium dan perhotelan yang harus dimanfaatkan dengan sepenuhnya supaya bukan sahaja Kerajaan Negeri menerima hasil cukai hiburan tetapi limpahan peluang perniagaan juga dapat dimanfaatkan oleh usahawan kita,” katanya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat bangunan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Soon Siang turut membangkitkan mengenai isu harga makanan di astaka dan gerai seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disifatkan sangat mahal dan tidak setimpal dengan nilai sewaan yang lebih rendah.

“Dalam bahasa mudahnya, “sewa gerai majlis murah tapi makanan dan minuman di astaka mahal”.

“Telah bertahun-tahun, sewaan gerai-gerai di bawah PBT kekal murah yang mana bayaran dikenakan dengan kadar serendah purata bermula daripada RM8 ke RM250 sebulan tetapi makanan dan minuman yang dihidangkan kepada rakyat tidak murah dan tidak Rahmah.

“Saya terkejut apabila menerima aduan orang awam bahawa ada gerai yang sebagai contoh, menghidangkan char kuetiaw daripada RM8 sepinggan sama harga dengan gerai di kedai makanan swasta.

“Harga makanan yang dihidang di bawah PBT seharusnya 10 hingga 20 peratu murah berbanding gerai-gerai swasta,” tegasnya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak PBT bersama-sama jabatan di bawah Kementerian Pengguna dan Kos Sara Hidup menjalankan pemantauan dan operasi bersepadu untuk memberi khidmat nasihat kepada pengusaha gerai PBT.

“Saya sarankan supaya dilaksanakan operasi yang telah saya cadangkan dengan perjanjian takwim tindakan pihak jabatan.

“Sekiranya ada penjaja yang masih mengenakan harga yang tidak munasabah, PBT perlu mempertimbangkan tindakan yang mana PBT tidak menyambung sewaan tapak gerai tersebut kepada pihak yang ingkar dan memberi peluang kepada peniaga baru,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SIEW CHIA EN