ADUN dan agensi berkaitan tumpu bendung salah guna dadah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah

Admin

SERI DELIMA – Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima bersama-sama agensi berkaitan akan melaksanakan langkah-langkah pendidikan dan intervensi yang lebih berkesan dalam membendung penyalahgunaan dadah melibatkan remaja dan pelajar sekolah khususnya.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Syerleena Abd. Rashid berkata, ia merupakan komitmen dan usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran remaja dan pelajar terhadap penyalahgunaan dadah dan masalah jenayah serta yang berkaitan dengannya.

“Ia adalah satu usaha untuk memberikan kefahaman serta pendedahan kepada para pelajar bagaimana untuk mengelakkan dan melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah sekaligus membantu membanteras masalah jenayah dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dan pelajar,” ujarnya ketika memberikan ucapan pada Program Pendidikan dan Kerjaya Murid 2019 di sini hari ini.

Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamid Khan, Shabru Mohamad Idris.

Program Pendidikan dan Kerjaya Murid 2019 anjuran Penang Youth Development Corporation (PYDC) yang berlangsung dekat SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad tersebut turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Penjara Pulau Pinang.

Selain sesi penerangan terperinci berhubung kesalahan jenayah, turut diadakan pameran daripada agensi-agensi berkaitan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN