EMPAT masjid dan sebuah surau di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat yang terjejas akibat bencana ribut taufan, hujan terlalu lebat serta banjir besar dalam kejadian pada 4 dan 5 November lalu telah siap dibaiki, sungguhpun pembangkang Pulau Pinang sehingga kini terus menggambarkan Kerajaan Negeri hari ini kononnya antiIslam dan anti-Melayu.
Mengulas lanjut, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sejumlah RM25,000 peruntukan peribadinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat telahpun dibelanjakan untuk membaiki Masjid Acheh Kebun Lama, Masjid Sheikh Eusoff, Masjid Rawana, Masjid Wan Chik Ariffin dan Surau Taman Free School.
“Sebagai ADUN, apa yang saya boleh buat, saya hendak bantu, dan memang saya lihat ada kerosakan pada masjid-masjid ini.
“Selain masjid-masjid ini, rumah ibadat bukan Islam (RIBI) seperti tokong, kuil dan gurdwara, kalau kita lihat ada kerosakan akan kita beri bantuan.
“ Setakat ini, RM25, 000 diberikan menggunakan peruntukan saya sebagai ADUN dan ini tidak termasuk peruntukan Kerajaan Negeri telah pun dibelanjakan… adalagi permohonan lain membabitkan masjid dan RIBI akan diproses,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Komtar 12 Disember lalu.
Menurut Jagdeep, bencana pada 4 dan 5 November lalu memang di luar jangkaan semua pihak, termasuk dirinya sendiri.
Pun begitu, tambahnya, Kerajaan Negeri melalui program Pulau Pinang Bangkit dengan peruntukan RM105 juta, akan mengagihkan pemberian wang ehsan RM700 secara ‘one-off’ kepada mereka yang ditimpa bencana pada hari kejadian.
“Kira-kira 51,000 mangsa berdaftar dan yang layak menerima sumbangan ini akan menerima sama ada terus melalui akaun bank masing-masing atau pusat-pusat pembayaran yang dibuka di kelima-lima daerah, mengikut jadual, pada 16 dan 17 Disember ini.
“Sebenarnya, banjir pada 15 September lalu pun kita sudah menganggapnya begitu teruk walaupun Kerajaan Negeri bersama-sama beberapa agensi lain berjaya memulihkan keadaan pasca bencana dalam tempoh 24 jam.
“Tapi, banjir pada 4 dan 5 November lalu adalah lebih teruk, di luar jangkaan semua dan saya sendiri, seperti beberapa kawasan di Seberang Perai bertambah teruk dilanda banjir walaupun sudah tiada lagi hujan pada 5 November,” ujarnya.
Menurut rekod, Jagdeep memberitahu, kawasan Padang Lalang paling teruk dilanda bencana, dan kira-kira 10,000 mangsa dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan akan menerima bayaran wang ehsan RM700 secara ‘oneoff’ nanti.
“Padang Lalang paling teruk dilanda banjir berbanding KADUN Datuk Keramat, dengan rekod 1,331 mangsa yang terlibat dalam banjir pada 15 September menerima RM400 ‘one-off’ dan angka mereka yang menerima RM700 nanti meningkat kepada 2,237 orang.
“Bayangkan betapa teruknya bencana, dalam tempoh tiga hari bencana baru-baru ini, kira-kira 15,000 bungkus nasi untuk makanan tengah hari dan (jamuan) malam diedarkan kepada mangsa dan sukarelawan di KADUN Datuk Keramat sahaja,” jelasnya.
Selain itu, Jagdeep memberitahu bahawa pihaknya turut berjaya menyiapkan projek membaik pulih lima kediaman di Datuk Keramat, yang rosak teruk akibat bencana baru-baru ini. Itu, kata beliau, tidak termasuk agihan pelbagai bantuan berbentuk barangan seperti tilam, bantal, periuk nasi, dapur dan pembakar roti kepada lebih 3,000 keluarga.
Pun begitu, Jagdeep sekali lagi melahirkan rasa kecewa ekoran layanan dingin Kerajaan Persekutuan, dengan enggan menyalurkan cukup dana bantuan bencana kepada rakyat Malaysia yang ditimpa bencana di Pulau Pinang
Tegasnya, rakyat Malaysia di Pulau Pinang juga seakan dianaktirikan apabila Kerajaan Pusat sehingga kini tidak menunaikan janji menyalurkan RM1 bilion untuk projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini.
“Daripada RM324,883,470 peruntukan bantuan wang ehsan kepada mangsa bencana yang telahpun dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2013, bayangkan rakyat Pulau Pinang hanya mendapat sumbangan paling sedikit iaitu RM35,500 sahaja.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri turun ke Pulau Pinang menyaksikan keadaan rakyat dan kawasan-kawasan yang dilanda banjir, tetapi tidak juga segera menyalurkan RM1 bilion peruntukan RTB, seperti dirayu oleh Kerajaan Negeri hari ini.
“RM1 bilion ini penting untuk mengurangkan risiko bencana banjir termasuk di KADUN Datuk Keramat yang ada (lembangan) Sungai Pinang, tetapi bencana pada 4 dan 5 November lepas yang benar-benar diluar jangkaan semua, sampai masjid tempat orang Islam sembahyang dan RIBI-RIBI lain pun terjejas akibat banjir, seakan tidak menginsafkan Kerajaan Pusat untuk membela rakyat serta menyalurkan RM1 bilion ini,” kata Jagdeep.