ADUN gesa pemaju tarik balik permohonan projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 15.04.39

GEORGE TOWN – Syarikat pemaju yang merancang untuk membina asrama pekerja di Teluk Kumbar digesa supaya menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang bagi projek tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz menggesa syarikat itu supaya mengambil tindakan sama yang dilakukan oleh satu lagi pemaju, Zantalite Enterprise Sdn. Bhd. yang telah membatalkan projek tersebut.

Azrul Mahathir berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada syarikat berkaitan untuk meminta pemaju mengambil pendekatan lebih harmoni dengan tidak meneruskan projek berkenaan.

“Saya juga bersedia memberi sokongan penuh sekiranya pihak pemaju memutuskan untuk tidak meneruskan projek itu dan menumpukan kepada pembinaan projek lain seperti stesen minyak dan rumah mampu milik di tapak sedia ada, yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat di sana.

“(Dan) jika syarikat memutuskan untuk menjual tanah itu, kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pembiayaan daripada Kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan untuk membeli tanah dan membina projek yang lebih bermanfaat kepada penduduk di Teluk Kumbar,” katanya pada sidang media dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Semalam, dilaporkan bahawa Exco Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye semasa sidang Dewan Undangan Negeri mengumumkan bahawa syarikat Zantalite Enterprise telah menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang bagi projek tersebut pada 16 November tahun lepas.

Mooi Lye berkata pihak pemaju, Zantalite Enterprise telah menarik balik permohonan tersebut pada 9 Mei lalu.

Beliau menambah, satu lagi projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar oleh pemaju lain masih menunggu kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dalam pada itu, Azrul Mahathir turut mengalu-alukan pengumuman tersebut memandangkan isu pembinaan asrama pekerja telah berlarutan sekian lama.

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan yang bertindak membantah projek tersebut sehingga salah satu pemaju memutuskan untuk tidak meneruskan projek asrama pekerja asing di kawasan Teluk Kumbar.

“Saya juga diberitahu Zantalite Enterprise telah memutuskan untuk membangunkan tanah itu dengan membina stesen minyak dan rumah mampu milik di tapak sedia ada kerana mereka tidak lagi berminat dengan projek asrama pekerja asing,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SIEW CHIA EN