ADUN harap aktiviti ‘Go Green’ dapat diamalkan dalam kalangan pelajar sekolah

PADANG LALANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berharap agar aktiviti ‘Go Green’ dapat diamalkan selalu, setiap hari dan juga sepanjang umur dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, aktiviti sihat tersebut merupakan usaha untuk melindungi alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan plastik melalui kempen No Single-Use Plastic serta mengamalkan sikap kitar semula.

“Program larian hijau julung kali ini bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, mencerdaskan minda malah dapat memupuk sikap ‘Go Green’ dalam kalangan pelajar.

“Jika badan cergas dan otak cergas, kita boleh melakukan pelbagai tugasan harian dengan lancar,” ucapnya usai majlis penanaman pokok bagi program ‘The Bukit Green Run’ dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) pada 28 September lalu.

Chong Eng bersama-sama Lee Khai Loon menanam pokok sempena ‘The Bukit Green Run’ dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon; Pegawai Khas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Lau Ah Sim dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ong Jing Cheng serta Benard Cheng.

Turut hadir, Presiden OldBoys Penang, Dato Aloysius Gasper; Mantan Pengetua Cemerlang HSBM, Nazri Bahari; Pengetua HSBM, Zaini Mat Zain dan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) HSBM, Dr. Latifah Ishak.

Mengulas lanjut, Chong Eng turut menasihati para pelajar agar menjaga kesihatan diri, bersenam serta makan makanan yang bernutrisi dan berkhasiat.

“Diri sendiri perlu membuat pilihan yang betul supaya makanan yang diambil adalah baik untuk kesihatan dan dapat menyeimbangkan pelajaran… jangan ambil terlalu banyak makanan ringan,” nasihat beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AFIQAH ZAINUDI