ADUN harap naik taraf sistem paip Kg. Tonghai 2 siap Mei

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ADUN

JAWI – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperuntukkan RM120,000 untuk menukar serta menaiktaraf sistem perpaipan di Kampung Tonghai 2, dekat Parlimen Nibong Tebal.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berharap projek penarafan itu siap mengikut jadual, pada bulan Mei ini.

“Saya berharap dengan siapnya kerja-kerja menukar paip air ini, kesulitan penduduk kampung sejak sekian lama bakal diatasi tidak lama lagi.

“Mereka tidak perlu lagi bimbang bekalan akan terganggu atau pun (menghadapi) tekanan air rendah,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, projek penarafan tersebut membabitkan sistem perpaipan sepanjang 350 meter yang terdiri oleh penukaran paip sedia ada kepada 100 milimeter (mm ) atau bersamaan empat inci.

Awal tahun lalu, penduduk setempat telahpun memohon kepada pengurusan PBAPP agar menaiktaraf sistem perpaipan di kampung mereka.

Pun begitu, PBAPP meluluskan peruntukan berwajib tersebut, selepas campur tangan langsung daripada Lip Chee.