PULAU BETONG – Tekankan elemen kekeluargaan dalam program-program rasmi yang dianjurkan di peringkat komuniti, demi merealisasikan wawasan Penang2030 sebagaimana digagaskan Y.A.B. Ketua Menteri Tuan Chow Kon Yeow.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mega Gotong Royong & Plogging pada 8 September dekat Palmyra Residence di sini.
“Saya mengharapkan supaya penerusan program gotong-royong dan plogging ini diteruskan bersama, dengan menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam misi Penang2030, yang menekankan aspek kekeluargaan.
“Maknanya hari ini, program yang dilaksanakan oleh penduduk Palmyra adalah untuk membentuk masyarakat harmoni, dan ia mesti terlebih dahulu datang daripada institusi kekeluargaan yang harmoni juga,” jelasnya pada majlis berkaitan.
Mohd. Tuah dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia atas penganjuran program komuniti itu.
Pada 29 Ogos lalu, Kon Yeow ketika melancarkan Penang2030 menjelaskan wawasan pembangunan negeri dalam tempoh 12 tahun sehingga 2030 tersebut akan turut memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kekeluargaan, selain menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau serta pintar.
Bagi Mohd. Tuah, plogging atau aktiviti berlari sambil mengutip sampah terutama plastik daripada hanyut lalu mengancam habitat laut, walaupun sesuatu yang baru di sekitar Pulau Betong, tetapi sangat baik untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti.
Difahamkan, plogging mula diperkenalkan di Sweden pada tahun 2016, dan dibawa ke Malaysia pada awal tahun ini, dengan Pulau Pinang antara negeri terawal menganjurkan program hijau tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : IDZHAM AHMAD