ADUN harap RM150 juta peruntukan Persekutuan bagi RTB Sungai Pinang disalurkan segera

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berharap peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM150 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dapat disalurkan segera.

 

Menurut Jagdeep, pengumuman berhubung peruntukan RM150 juta itu dibuat oleh mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen pada 7 November 2016.

 

“Walaupun kita memerlukan dana RM600 juta bagi menyempurnakan fasa RTB Sungai Pinang yang sudah tertangguh lama…hampir 20 tahun, pengumuman peruntukan itu sekurang-kurangnya dapat memulakan fasa berikutnya.

 

“(Dan) Menteri Kewangan, Lim Guan Eng minggu lalu memaklumkan bahawa peruntukan tersebut telah tersedia (setelah diluluskan pada tahun 2016), namun tidak dapat disalurkan kerana didapati kontraktor yang dilantik oleh pentadbiran terdahulu tidak melalui tender terbuka, sebaliknya lantikan terus.

 

“Jadi, beliau (Guan Eng) memberi komitmen bahawa peruntukan itu akan disalurkan awal tahun hadapan setelah lantikan kontraktor baharu dibuat melalui tender terbuka tidak lama lagi,” ujarnya pada sidang media di sini tadi.

 

Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa dalam pada itu berharap agar peruntukan tersebut dapat disalurkan segera.

 

“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Kewangan kerana menyatakan komitmen untuk membantu menyempurnakan RTB Sungai Pinang ini, namun, saya berharap agar peruntukan tersebut dapat disalurkan segera, tahun ini kalau boleh.

 

“Hal ini kerana, Fasa 1 telahpun disempurnakan pada tahun 1999, tetapi Kerajaan Persekutuan dahulu langsung tidak ada usaha untuk meneruskan RTB Sungai Pinang ini sehinggakan rakyat terpaksa menanggung sengsara setiap kali banjir kilat khasnya di kawasan saya (KADUN Datuk Keramat).

 

“Malah, Kerajaan Negeri Pakatan pada 2015 membantu dengan menempatkan semula 223 penduduk dan lebih 100 struktur sepanjang jajaran Sungai Pinang bagi membolehkan kerja-kerja fizikal pendalaman dan pelebaran dapat dijalankan…tetapi hampa.

 

“Maka, dengan adanya Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, saya percaya masalah banjir di kawasan Datuk Keramat dapat ditangani,” jelasnya.

 

Terdahulu, Jagdeep memaklumkan dalam kejadian banjir kilat yang berlaku semalam (30 Julai 2018), beberapa hotspot yang sering dinaiki air terjejas antaranya di Jalan P. Ramlee, Kebun Lama, Kampung Makam, Jalan Gemas dan Taman Free School.

 

“Kawasan ini sudah tidak asing lagi, sering dilanda banjir kilat sejak 20 tahun lalu lagi, dan dalam kejadian semalam ia berlanjutan selama hampir sehari.

 

“Kejadian semalam hanya banjir kilat, bukanlah banjir besar seperti yang berlaku pada September dan November tahun lalu akibat pertembungan monsun.

 

“(Dan) pasukan saya juga telah bergegas membantu penduduk terjejas dengan mengedarkan makanan sebanyak 3,000 paket, malah pihak MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) juga mengambil tindakan pantas membersihkan kawasan terbabit,” katanya.

 

Difahamkan, sejak 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang telah melaksanakan 35 projek tebatan banjir pada skala kecil dan sederhana bagi menangani masalah banjir kilat yang sering terjadi di sepanjang jajaran Sungai Pinang.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN