ADUN harap Siswa Perai jadi pendorong pelajar teruskan pengajian peringkat tinggi

Admin
image 2024

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo mahu memastikan tiada pelajar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai yang tercicir dalam melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerana masalah kewangan.

 

Beliau yang juga Exco Perumahan dan Alam Sekitar berharap, sumbangan wang tunai sebanyak RM500 secara one-off yang disediakan itu, sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan pengajian masing-masing dengan jayanya.

 

“Walaupun tidak seberapa, saya berharap sumbangan melalui Siswa Perai ini bukan sahaja membantu meringankan beban malah menjadi dorongan untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi dengan sebaiknya,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Siswa Perai di Komtar tadi.

whatsapp image 2024 10 03 at 17.20.26
S. Sundarajoo berharap sumbangan Siswa Perai menjadi pendorong kepada penerima untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Sundarajoo, pihaknya menerima sebanyak 54 permohonan secara dalam talian dan setelah proses tapisan, seramai 50 pelajar terpilih menerima sumbangan tersebut.

 

Hari ini, sebanyak RM25,000 akan diserahkan kepada 50 pelajar yang layak menjadikan jumlah setakat ini yang telah disumbangkan adalah sebanyak RM48,500 kepada 97 penerima.

 

“(Dan) sebanyak RM49,500 dalam bentuk pembekalan komputer riba khas untuk anak-anak di KADUN Perai,” katanya.

 

Dalam pada itu, rata-rata pelajar dan waris yang hadir melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Sundarajoo atas penyerahan sumbangan pendidikan tersebut.

whatsapp image 2024 10 03 at 17.16.45
(Dari kiri); MELISSA Tan Wei, Nur Syamimi Md Rokib dan S. Rideehimann ketika ditemui usai majlis berkaitan di sini.

 

Begitu juga pelajar jurusan kejuruteraan mekatronik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), S. RIDEEHIMANN, 19, yang teruja menerima sumbangan Siswa Perai.

 

“Gembira sebab sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga dan pada masa sama dapatlah sedikit duit saku,” katanya yang ditemui usai majlis berkaitan di sini.

 

Bagi NUR SYAMIMI MD. ROKIB, 19, yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam bidang keselamatan komputer menzahirkan rasa terharu atas sumbangan yang diterima.

 

“Terima kasih kepada YB Sundarajoo atas bantuan kewangan ini dan sangat membantu serta berguna untuk saya nanti,” kata anak kelahiran Perai itu.

 

Seorang lagi penerima MELISSA TAN WEI, 18, turut gembira apabila terpilih untuk menerima sumbangan Siswa Perai.

 

“Saya baru sahaja memulakan pengajian di salah sebuah universiti swasta di sini dan sumbangan ini amat membantu meringankan beban kewangan,” katanya yang ditemani ibu.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI