ADUN harap subsidi petani diselaraskan

PULAU BETONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berharap agar subsidi yang diterima oleh golongan petani di kawasan Balik Pulau dapat diselaraskan seperti daerah Seberang Perai utara (SPU).

Katanya, difahamkan kini, subsidi melibatkan pertanian seperti baja, racun dan lain-lain yang diterima golongan petani di Balik Pulau adalah lebih rendah berbanding SPU.

“Saya akan mengatur pertemuan dengan Dr. Norlela Ariffin selaku Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan untuk menyelaraskan perkara ini.

“Mungkin perkara ini boleh diangkat ke peringkat kementerian untuk membolehkan petani di sini (Balik Pulau) menerima subsidi yang sama sekaligus dapat meningkatkan pengeluaran tanaman terutamanya padi yang turut menjadi kawasan tarikan di Balik Pulau,” ujar Mohd. Tuah ketika berucap pada Bengkel Peningkatan Hasil Tani bertempat di Pejabat Pertanian Daerah Barat Daya (DBD), pagi tadi.

Hadir sama, Pegawai Pertanian DBD, Ahmad Razali Ahmad; Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Balik Pulau, Prof. Dr. Idris Salleh dan Ketua Eksekutif MATA Aerotech Sdn. Bhd., Wan Azrain Adnan.

Pada bengkel tersebut, MATA Aerotech turut melakukan demonstrasi meracun tanaman menggunakan dron yang dikatakan lebih menjimatkan kos dan masa.

Penggunaan dron hanya memerlukan sekitar 15 minit berbanding satu jam setengah jika menggunakan teknik penyemburan biasa untuk sehektar tanah.

Dari segi penggunaan air pula, dron hanya memerlukan 16 liter air berbanding penyembur biasa 200 liter.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD