ADUN harap sumbangan alatan sukan bantu SMK Mutiara Impian lahir lebih ramai atlet berkualiti

Admin

BUKIT TAMBUN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee hari ini memberi sumbangan berupakan peralatan sukan bernilai RM8,760 kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian.

Sumbangan tersebut adalah bagi membantu pihak sekolah dalam usaha menaik taraf dan membekalkan peralatan sukan terbaik bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti di negeri ini.

Antara peralatan sukan yang disumbangkan oleh Soon Lip Chee kepada SMK Mutiara Impian.

Menurut Lip Chee, memandangkan SMK Mutiara Impian merupakan sebuah sekolah sukan yang banyak mencipta kecemerlangan, maka Kerajaan Negeri telah bersetuju mengeluarkan peruntukan setiap tahun kepada pihak sekolah untuk menambah peralatan dan fasiliti sukan yang diperlukan.

“Cuma saya harapkan peralatan yang disumbangkan ini dapat digunakan dengan sebaiknya oleh para pelajar dalam mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Peralatan Sukan kepada SMK Mutiara Impian, di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; wakil Ketua Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan, Mohd. Aidil Jamalis; barisan guru serta para pelajar.

Dalam majlis sama, Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal turut mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM5,000 kepada SMK Mutiara Impian bagi membantu pihak sekolah membeli tilam baharu untuk kegunaan pelajar-pelajar asrama sekolah berkenaan.

“Sumbangan ini sebagai tambahan kepada peruntukan sebanyak RM5,000 yang disampaikan ADUN Bukit Tambun (Goh Choon Aik) sebelum ini,” katanya.

Acara bola sepak antara sukan yang banyak mencipta kejayaan.

Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara Impian, Othman Mohd. Rajab Othman dalam ucapannya memberitahu bahawa sumbangan yang diterima mampu menyuntik semangat pihak sekolah untuk terus maju dalam bidang sukan.

“Semua peralatan ini akan kita gunakan semaksimum mungkin untuk mencapai lebih banyak kecemerlangan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa,” jelasnya.

Difahamkan, pelajar SMK Mutiara Impian banyak mencipta kecemerlangan dan kejuaraan dalam bidang sukan seperti hoki, sepak takraw, bola sepak, bola jaring dan olahraga.

Lebih membanggakan apabila tiga pelajar sekolah berkenaan bakal mewakili Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara sepak takraw ke pertandingan ASEAN School Games yang bakal berlangsung di Indonesia tidak lama lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF