KERAJAAN NEGERI Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 berjumlah RM20 juta bagi membantu kumpulan paling terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melalui kenyataan akhbar memberitahu bahawa lima kumpulan sasaran pertama telah dikenal pasti akan menerima manfaat daripada agihan pakej berkenaan berjumlah RM10 juta.
Antaranya, peniaga dan penjaja kecil berlesen; penggerai di kompleks makanan dan lot kedai, peniaga pasar tani serta pengusaha kantin sekolah yang akan menerima wang tunai secara ‘one-off’ berjumlah RM500.
Turut menerima manfaat sama adalah pengusaha kedai gunting rambut salun kecantikan dan spa, pusat refleksilogi dan bekam.
Manakala, penarik beca pula menerima RM200 secara ‘one-off’ dan peruntukan khas kepada setiap wakil rakyat sebanyak RM30,000.
Dalam pada itu, Skuad Buletin Mutiara sempat menemu ramah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad.
Beliau ketika dihubungi menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu golongan paling terkesan akibat pelaksanaan PKP 2.0.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti kumpulan sasaran melalui bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk membolehkan bantuan disampaikan hanya kepada golongan yang benar-benar layak.
“Kita hargai bantuan segera disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu golongan paling terkesan akibat pelaksanaan PKP.
“Di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), kita akan memainkan peranan untuk mengesan pihak-pihak yang paling terjejas akibat pelaksanaan PKP dan jenis bantuan yang mereka perlukan.
“Bentuk bantuan yang akan kita berikan adalah bergantung kepada keperluan semasa mereka sama ada kewangan, peralatan pembelajaran atau bekalan makanan.
“Seperti semua sedia maklum, ketika ini pelajar-pelajar perlu mengikuti pelajaran secara dalam talian di rumah, jadi mungkin ada di antara penerima memerlukan kelengkapan pembelajaran anak-anak berbanding bantuan lain-lain,” ujarnya.
Walau bagaimanapun katanya, keutamaan adalah diberikan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memandangkan mereka dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling terkesan.
“Sebelum ini melalui Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 kita berjaya agihkan bantuan kepada lebih 200 penerima di seluruh KADUN Teluk Air Tawar.
“(Dan) kali ini kita berharap agar lebih ramai menerima manfaat daripada peruntukan khas yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.
“Sekarang kita masih menunggu perkembangan selanjutnya mengenai bantuan ini dan sedikit masa lagi kita akan putuskan selepas mendapat permintaan daripada mereka-mereka yang terkesan ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye pula berkata bahawa peruntukan yang bakal diterima akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu barangan keperluan serta peralatan untuk membantu pembelajaran dan pengajaran di rumah.
“Barang keperluan akan diedarkan kepada keluarga yang terjejas manakala sebahagian lagi akan digunakan bagi membeli peranti elektronik untuk membantu pelajar memerlukan belajar secara maya.
“Ini kerana, saya menerima banyak rayuan daripada ibu bapa mengenai keadaan mereka yang tidak mampu menampung membekalkan peranti elektronik kepada anak-anak mereka untuk sesi pembelajaran secara dalam talian
“Walaupun Kerajaan Negeri sudah mempunyai program seperti ini, namun saya juga ingin turut membantu mempercepatkan dan meningkatkan lagi jumlah penerima,” jelasnya.
Daripada segi barangan keperluan pula katanya, beliau menganggarkan peruntukan tersebut mampu membantu kira-kira 6,000 keluarga di sekitar KADUN Jawi.
“Kita agihkan barang keperluan yang dibeli menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan disertakan dengan barangan didermakan oleh orang ramai yang mana bantuan ini akan diedarkan secara berperingkat,” katanya lagi.
ADUN Bagan Dalam, M. Satees pula berpandangan bahawa Kerajaan Negeri perlu mencari alternatif bagi memudahkan rakyat khususnya kumpulan peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan.
“Peniaga-peniaga kecil seperti premis mencuci kereta perlu diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat supaya mereka boleh menyara kehidupan harian seperti biasa,” tambahnya.
Menyentuh mengenai peruntukan khas oleh Kerajaan Negeri, Satees menjelaskan bahawa beliau akan memberikan tumpuan kepada golongan terpinggir seperti peniaga tidak berlesen dan pencuci pinggang mangkuk di restoran-restoran sekitar Bagan Dalam.
“Apabila bantuan sebegini diberikan kepada peniaga yang tidak mempunyai lesen akan mendorong mereka untuk mendaftar perniagaan atau mendapat lesen daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Selain itu, peruntukan ini juga akan disalurkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam serta masjid dan surau untuk tujuan penyelenggaraan selain pengusaha spa dan kedai gunting rambut,” ulasnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD