JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengadakan program gotong-royong di Ladang Kalidonia demi mencegah pembiakan nyamuk aedes di sini.
Menurut beliau, inisiatif itu sebagai persiapan komuniti setempat yang rata-ratanya penganut Hindu bagi menyambut Hari Deepavali.
“Jabatan kesihatan menyemburkan ubat (fogging) terutama terhadap padang yang terbiar dan di persekitaran kawasan perumahan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk di kawasan tersebut.
“Penduduk di sini dinasihatkan agar membuang bekas yang berkemungkinan menakung air.
“Kami juga memberitahu penduduk agar membuang barang yang tidak terpakai agar pihak MPSP dapat mengambil barang tersebut, (selain) membantu penduduk membersihkan kawasan luar rumah, terutama Hari Deepavali sudah berdekatan,” ujar beliau.
Ahli Majlis bagi MPSP, Loh Joo Huat turut hadir dalam program komuniti tersebut.
Lip Chee merakamkan penghargaan kepada lebih 40 pekerja MPSP dan 10 pegawai dari Jabatan Kesihatan serta komuniti setempat kerana menjayakan program gotong- royong itu walaupun terpaksa menempuh dalam keadaan hujan yang renyai.
Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen pemimpin negeri dalam merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.