ADUN Jawi, MPSP anjur ‘plogging’, ke arah Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama negara

GEORGE TOWN – Hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ ng Mooi Lye dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganjurkan Program Plogging KADUN Jawi di Taman Rekreasi Sungai Sanglang, Nibong Tebal di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua (YDP) MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, pihaknya berharap aktiviti ‘plogging’ bakal menyumbang kepada usaha bersama dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama negara.

“Plogging adalah joging sambil kutip sampah terutama plastik, bermula pada tahun 2016 di Sweden.

“Pada tahun 2018, aktiviti plogging dibawa ke Malaysia dan negara-negara lain, dan Pulau Pinang agak cepat apabila Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri melancarkan program plogging pertama peringkat Seberang Perai di Taman Tunku Seberang Jaya 10 Jun lalu.

“Apabila plastik pakai buang dibawa arus air ke sungai dan laut, mengingatkan plastik ini adalah makanan, habitat laut makan dan akan mati.

“Lalu, pencinta alam sekitar telah membangkitkan isu ini, supaya jangan lagi kita membiarkan pembuang plastik ini membunuh habitat laut serta menjadi isu global,” jelasnya sambil memberitahu bahawa program pada pagi 26 Ogos 2018 berkaitan adalah kali yang kedua diadakan di Seberang Perai.

Tambah Rozali, mengikut rekod statistik global berwajib, Malaysia pada tahun 2010 di kedudukan kelapan daripada segi negara yang mengotorkan laut.

“(China) menghasilkan plastik sebanyak 8.8 juta matrik tan jenis plastik yang tidak dikutip dan daripada jumlah itu, sebanyak 3.53 juta tan matrik pergi ke laut.

“Malaysia pula pada tahun 2010, sejumlah 0.90 juta matrik tan tidak dikutip, dan daripada jumlah itu 0.34 juta matrik tan dihanyutkan ke laut.

“Walaupun MPSP mengutip sampah di kawasan Seberang Perai, masih ada sampah terutama jenis plastik yang tidak dikutip dan akhirnya dihanyutkan ke laut.

“Kerana masih ada pihak membuang plastik di merata-rata tempat tanpa menghiraukan plastik ini akan dihanyutkan ke laut, sebenarnya perbuatan kita itu sebenarnya mengancam nyawa habitat laut.

“Sebab itu pentingnya plogging ini, kita nak jadi negeri hijau pertama negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.

Teks : ZAINULFAQAR. YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD