ADUN, MPSP tubuh Skuad Bencana Banjir

MACHANG BUBUK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganjurkan dialog dengan penduduk Taman Amra, Taman Asas Murni dan Taman Sukun bagi mencari penyelesaian pada bencana banjir lumpur di sini.

Hasil interaksi itu, beliau berkata, penduduk berwajib sedia menubuhkan Skuad Bencana Banjir di kawasan kediaman masing- masing.

“Skuad ini akan bekerjasama dengan Skuad Khas yang ditubuhkan MPSP dan beroperasi 24 jam.

“Peranan skuad komuniti ini adalah menyalurkan informasi setempat secara langsung kepada MPSP serta melakukan kerja-kerja kesukarelawan sementara menunggu bantuan daripada Skuad Khas MPSP apabila berlakunya banjir,” ujar beliau di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Amra di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis bagi MPSP, Ho Leng Hong turut hadir pada majlis yang disertai hampir 50 wakil komuniti setempat itu.

Khai Loon turut merakamkan penghargaan kepada JKKK Taman Sukun kerana mengambil inisiatif menganjurkan program interaktif itu.

Sebelum itu, wakil MPSP turut menjelaskan beberapa pelan perancangan pemajuan di kawasan tumpuan banjir lumpur, iaitu menaik taraf rumah pam berwajib lengkap dengan sistem pintasan aliran air (by-pass channel) yang dianggarkan menelan belanja kira- kira RM6 juta.