ADUN Pantai Jerejak dekati rakyat

Admin

TAKLIMAT ringkas yang disampaikan oleh Sim Tze Tzin (berdiri) membantu penduduk setempat mendapatkan maklumat penting berkaitan kerajaan tempatan dan pengurusan setempat.
TAKLIMAT ringkas yang disampaikan oleh Sim Tze Tzin (berdiri) membantu penduduk setempat mendapatkan maklumat penting berkaitan kerajaan tempatan dan pengurusan setempat.

 

PANTAI JEREJAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin telah mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Jawa, Bayan Baru, baru-baru ini bagi mendalami dan mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Sesi dialog tersebut turut mendapat sambutan dari beberapa wakil agensi kerajaan antaranya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya serta Jabatan Kerja Raya (JKR), yang dilihat sebagai wadah penting dalam merapatkan hubungan masyarakat dengan agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Selain itu, Tze Tzin turut mengadakan program gotong-royong dengan mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mahsuri, MPPP dan juga pihak pengurusan Pai Mega Sdn. Bhd. di kawasan perumahan Lengkok Mahsuri. Sebelum itu, Tze Tsin turut mengadakan sesi dialog dengan penduduk di perumahan pangsa Lengkok Mahsuri bagi mendalami permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.

Menurut jurucakap Tze Tzin, program gotong-royong diadakan bukan sahaja untuk membersihkan kawasan persekitaran malah untuk memberi kesedaran kepada penduduk setempat tentang pentingnya menjaga kebersihan dan memastikan kawasan penempatan mereka bebas aedes dan tiruk. Oleh demikian,  pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) yang mewakili Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah turut serta dalam program gotong-royong ini untuk memberi taklimat berkaitan aedes dan ancaman denggi.

Pada hari tersebut juga, pertandingan “Rumahku Bersih” turut diadakan. Pertandingan tersebut bukanlah untuk memberi inisiatif kepada rumah yang bersih semata-mata tetapi untuk memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan dan melalui kebersihan sahaja tahap kesihatan lebih terjaga dan terjamin. Malah melalui pertandingan tersebut, jiran tetangga dapat sama-sama berganding bahu mengeratkan hubungan silaturrahim menjaga kawasan persekitaran.

SALAH seorang penduduk di Kampung Jawa, Bayan Baru bertanyakan sesuatu kepada wakil agensi yang hadir pada sesi dialog bersama rakyat.
SALAH seorang penduduk di Kampung Jawa, Bayan Baru bertanyakan sesuatu kepada wakil agensi yang hadir pada sesi dialog bersama rakyat.