DATOK KERAMAT– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM500 daripada Tabung Bencana Tuan Yang Di Pertua Negeri (Tabung TYT) kepada mangsa kebakaran Flat Sri Tanjung Jalan Perak, Lim Kok Yong, 53 baru-baru ini.
Menurut Jagdeep, ini merupakan satu sumbangan sebelum pihaknya cuba mendapatkan bantuan-bantuan lain yang wajar kepada mangsa.
“RM5,000 peruntukan ADUN dijangka akan disalurkan dalam jangka masa terdekat ini. Selain itu, saya turut akan membuat permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Negeri bagi membantu keluarga mangsa dari segi keperluan-keperluan lain,” ujar beliau ketika melakukan lawatan baru-baru ini.
Ketika kejadian, Kok Yong bersama isterinya Yoh Sook Leong, 53 sedang tidur sebelum isterinya terbau asap. Beliau kemudian keluar dan ternampak api sudah marak di dalam rumah mereka sambil mengejutkan anak perempuan mereka Lim Siew Ling, 24, yang tidur dibilik bersebelahan.
“Semua barangan dalam rumah habis musnah, tetapi, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa. Cuma isteri saya ditahan di wad Hospital Besar Pulau Pinang akibat terhidu asap tebal,” ujar Kok Yong yang berkerja sebagai penjaja di Persiaran Gurney.
“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting seperti kad pengenalan, passport dan sijil lahir sahaja. Kerugian saya adalah melebihi RM50,000,” ujar beliau lagi.
Mengulas kejadian itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Pegawai Bomba Kanan 2, Zakapli Ramli berkata, mereka menerima panggilan pada pukul 7.29 pagi dan tiba tiga minit kemudian. Menurut beliau lagi, api Berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 7.40 pagi.
Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan. Individu yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bolehlah menghubungi Kok Yong di talian 016-4199496.